GLOBAL

PEMILU 2019: Pengundian semula di Malaysia mungkin dijalankan

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SHAH ALAM, 17 APR: Komisi Pemilihan Umum (KPU) Indonesia menyatakan akan membuat tindakan lanjut terhadap saranan Badan Pengawas Pemilu (Bawaslu) supaya mengadakan pengundian semula bagi undi pos, di Malaysia.

Saranan terbabit ekoran penemuan ratusan karung beg mengandungi kertas undi yang sudah ditanda, di Kajang.

Pengerusi KPU, Arif Budiman berkata, pihaknya akan mengenal pasti bilangan pengundi yang menggunakan kaedah itu terlebih dahulu sebelum mengambil langkah susulan.

Beliau berkata, pihaknya perlu mendapat pengesahan daripada pengilang kertas undi, bergantung kepada jumlah kertas undi diminta dan tempoh yang diperlukan.

“Kemudian, baru KPU akan menentukan pengisihan, lipatan, pengedaran dan pengiriman melalui pos, serta tempoh pegembalian pos itu.

“Langkah itu diperlukan bagi menentukan bila pengundian semula akan dibuat,” katanya seperti dilapor BBC Indonesia.

Katanya, KPU juga akan memastikan kertas undi yang sudah ditanda di Selangor tidak dikira.

Pada masa sama, Persuruhjaya Bawaslu, Rahmad Bagja berkata, pengundian semula wajar dilakukan bagi memenuhi hak mengundi warga Indonesia, sekali gus mengekalkan integriti proses PEMILU 2019.

Pengerusi Bawaslu, Abhan pula berkata, cadangan mengadakan pengundian semula akan diselaraskan dengan KPU dan Dewan Kehormatan Penyelenggaraan Pemilihan Umum (DKPP).

Bagaimanapun, pihaknya masih melakukan penyiasatan lanjut di Malaysia.

Jika pengundian semula dibuat, kira-kira lebih 300,000 pengundi akan mengundi semula di Malaysia.


Pengarang :