GLOBAL

PEMILU 2019: Tunggu keputusan rasmi KPU

JAKARTA, 18 APRIL: Keputusan rasmi pilihan raya umum Indonesia 2019 (PEMILU 2019) hanya akan diumumkan Komisi Pemilihan Umum (KPU) Indonesia secara progresif mulai 25 April hingga 22 Mei 2019.

Pengumuman rasmi Presiden dan Naib Presiden Indonesia untuk tempoh 2019-2024 pula dijadualkan pada 20 Okt 2019.

Namun, bagi pilihan raya Presiden (Pilpres), kedua-dua penyokong kini dilihat menggunakan hasil tinjauan ‘hitung cepat’, dalam mengetahui dan merasionalisasikan kemenangan awal mereka.

Berdasarkan hasil hitung cepat yang dilakukan badan-badan tinjauan di Indonesia, Presiden Joko Widodo yang mempertahankan jawatannya, bersama pasangannya untuk naib presiden, Ma’ruf Amin, selesa mendahului pasangan Prabowo Subianto dan Sandiaga Uno.

Sebanyak 40 badan bebas berdaftar dengan KPU, bagi melakukan hitung cepat Pilpres 2019 itu.

Hasil hitung cepat berkenaan adalah keputusan tidak rasmi, dengan badan-badan terbabit menggunakan hasil kiraan undi di pusat pengundian atau Tempat Pemungutan Suara (TPS) terpilih yang dijadikan sampel dalam proses hitung cepat itu.

Badan-badan itu menggunakan sampel hasil kiraan undi di 3,000 hingga 6,000 TPS yang dipilih mereka, berdasarkan pemilihan TPS atas kriteria tertentu.

Prabowo, 57, menolak hasil hitung cepat yang dilakukan badan-badan berkenaan.

“Saya hanya ingin memberikan update bahawa berdasarkan real count (pengiraan yang dilakukan pihaknya) kita sudah berada (mendahului) di posisi 62 peratus,” kata Prabowo dalam satu kenyataan hari ini.

Prabowo mendakwa hitung cepat yang dilakukan pihaknya itu melibatkan 320,000 TPS terpilih.

Menurut Ketua KPU, Arief Budiman, peratusan pengundi pada Pemilu 2019 mencapai 77.5 peratus.

Sebanyak 192,828,520 pengundi, layak mengundi pada Pemilu 2019 di lebih 780,000 TPS semalam.

Berdasarkan hasil hitung cepat oleh badan-badan bebas itu, antaranya Penelitian dan Pengembangan (Litbang) KOMPAS, Indo Barometer, Charta Politika Indonesia, Poltraking Indonesia dan Indikator Politik Indonesia, pasangan Jokowi-Ma’ruf memperoleh peratusan undi antara 54 hingga 56 peratus, manakala pasangan Prabowo-Sandiaga meraih antara 44 hingga 46 peratus.

Berdasarkan Pilihan Raya Indonesia 2014, hasil hitung cepat yang dilakukan badan-badan bebas ini ternyata hampir 99 peratus tepat.

Jokowi, 57, pula dilihat mengambil pendekatan yang lebih tenang dengan tidak mahu merayakan hasil hitung cepat itu dan meminta seluruh rakyat Indonesia supaya menunggu keputusan rasmi daripada KPU.

Penganalisis dan pemerhati politik turut meminta kedua-dua penyokong agar tidak merayakan kemenangan hasil hitung cepat itu, yang dilihat boleh mencetuskan suasana yang tidak harmoni.
-BERNAMA

 


Pengarang :