NASIONALSUKANKINI

Penampilan Troup ceriakan Bowling Terbuka Antarabangsa Malaysia

PETALING JAYA, 30 APR: Segalanya mengenai pemain boling dari Amerika Syarikat, Kyle Troup, adalah unik dan menonjol.

Dari cara berpakaian, gaya rambut, gerakan tarian kemenangan dan gaya permainan boling yang luar biasa.

Dalam perkataan lain, dia menonjol, cergas dan penuh gaya.

Jadi bukanlah satu kejutan apabila beliau lebih mementingkan bagaimana ‘penampilannya’ di Kejohanan Bowling Antarabangsa Terbuka Malaysia ke-40 bermula 26 April hingga 4 Mei, berbanding tahap ketersediaan beliau untuk kejohanan itu.

“Tadi, kami telah ditanya mengenai persediaan kami untuk kejohanan ini. Pada saya, persediaan saya adalah untuk memastikan rambut saya kelihatan menarik, dan saya mempunyai pakaian yang betul untuk kejohanan itu,” kata pemain berusia 27 tahun berambut gaya ‘afro’.

Apakah cerita di sebalik pakaian dan seluar yang berwana-warni?

“Betul, pakaian saya kelihatan menyerlah. Ia dari bapa saya, yang juga merupakan seorang pemain boling profesional pada tahun 80-an. Jadi.. betullah.. (ia) satu tradisi keluarga (memakai pakaian berwarna- warni) dan saya meneruskannya,” katanya kepada pemberita pada sidang media di sini hari ini.

Bagaimana pula dengan gerakan tarian kemenangan yang dilakukan apabila beliau melakukan strike?

Jika dia melakukan strike, bersedialah untuk beliau melakukan gerakan tarian mengikut lagu popular ‘Pick It Out’ oleh seorang penyanyi rap Famous Dex.

Jadi adakah beliau seorang pemain boling yang bagus? Jawapannya, tentu sekali.

Troup yang membaling bola seperti gaya menyodok menggunakan dua tangan, dengan tangan kanan yang lebih dominan, sehingga kini telah memenangi tiga Jelajah Persatuan Pemain Boling Professional Amerika Syarikat (PBA).

Dengan bapanya Guppy Troup, pemenang lapan kali Jelajah PBA, mereka merupakan antara empat gandingan bapa-anak yang setiap satunya pernah memenangi Jelajah PBA.

Dengan gaya boling terbaik, Troup telah bersedia bermain dengan sebaiknya minggu ini, apabila berhadapan dengan beberapa pemain terbaik dunia, di kejohanan itu termasuk pemain Malaysia yang sedang meningkat, Muhammad Rafiq Ismail.

Sementara itu, pemain boling negara, Adrian Ang, yang memenangi Anugerah Pasukan terbaik bersama Tun Ameerul Hakim Tun Hasnul Azam di Anugerah Sukan Negara Selasa lepas berkata, anugerah itu meningkatkan keyakinan mereka.

“Kami akan lakukan yang terbaik di hadapan peminat kami,” katanya.

Adrian dan Tun Ameerul mencipta sejarah di Kejohanan Dunia di Hong Kong tahun lepas, dengan menjadi gandingan lelaki pertama negara menjuarainya, manakala Rafiq yang dinobatkan sebagai Olahragawan 2018, menjadi juara dunia perseorangan lelaki.

SUMBER: BERNAMA

FOTO KREDIT: FB KYLE TROUP


Pengarang :