BERITA UTAMASELANGOR

Penantian 29 peniaga Uptown Shah Alam berakhir

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 11 APR: Penantian 29 peniaga bazar larut malam ‘Uptown’ Shah Alam, Seksyen 24 yang terlibat dalam kejadian kebakaran 12 November tahun lalu akhirnya terlerai apabila Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menyerahkan surat serah tapak, malam tadi.

Majlis penyerahan surat disempurnakan EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail sambil diiringi Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain.

Rodziah dalam ucapannya mengingatkan semua peniaga untuk bekerjasama dan mementingkan aspek keselamatan supaya kejadian kebakaran tidak berulang.

Katanya, insiden kebakaran yang berlaku perlu dijadikan pengajaran kerana ia akan merugikan semua pihak terutama peniaga dan PKNS.

“Peniaga perlu mengekalkan disiplin perniagaan kerana kita tidak mahu kejadian kebakaran berulang kembali.

“Kita harap peniaga dapat menjaga dengan baik supaya selamat dan menitik beratkan isu keselamatan,” katanya.

Rodziah turut mengingatkan peniaga supaya menjalankan sendiri perniagaan dan tidak menyewakan tapak serta lesen kepada warga asing.

Dalam majlis sama, Rodziah dan Mohd Azizi turut melawat ke tapak perniagaan yang sudah dibaik pulih.

Keadaan tapak baharu dilihat lebih kemas dan teratur serta menggunakan pendawaian elektik lebih sistematik.

Terdahulu, PKNS membina semula dan membaiki tapak perniagaan Uptown Shah Alam yang rosak dengan kos RM1.47 juta mengikut jangkaan tempoh siap selama empat bulan iaitu selewat-lewatnya April ini.

Sepanjang tempoh baik pulih, PKNS turut mendirikan khemah perniagaan sementara dengan kos RM160,000 kepada peniaga untuk tempoh enam bulan.

Selain itu, peniaga terjejas turut menerima bantuan khas membabitkan Dana Ehsan (Bencana Alam) daripada Kerajaan Negeri.

Dalam kejadian kebakaran sekitar jam 5 pagi, 12 November tahun lalu, sebanyak 41 lot perniagaan terjejas bagaimanapun tiada kemalangan jiwa.


Pengarang :