Selangorkini
NASIONAL

Pencemaran Sungai Kim Kim tidak jejas keyakinan pelancong ke Johor

JOHOR BAHRU, 5 APR: Pencemaran sisa toksik di Sungai Kim Kim pada bulan lepas di Pasir Gudang, dekat sini, tidak menjejaskan keyakinan pelancong untuk ke Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan negeri, Liow Cai Tung berkata, setakat ini, pihaknya tidak mendapat sebarang aduan mengenai kebimbangan pelancong untuk datang ke Johor disebabkan pencemaran di sungai berkenaan.

Beliau berkata demikian ketika mengulas sama ada pencemaran alam sekitar itu ada mendatangkan kebimbangan pelancong sekali gus menjejaskan bilangan mereka untuk melawat negeri itu terutamanya menjelang Tahun Melawat Johor 2020.

“Kita menyasarkan seramai 16.6 juta pengunjung akan datang ke Johor sepanjang tahun ini, yang mana lapan juta daripadanya menetap di Johor sekurang-kurangnya satu malam,” kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) Johor 2019 di Tampoi, di sini hari ini.

Pada tahun lepas, seramai 15.84 juta pengunjung melawat Johor berbanding 14.44 juta pelancong pada tahun 2017.

Memandangkan tahun hadapan juga merupakan penganjuran Sukan Malaysia di negeri ini, pihaknya juga yakin bilangan pengunjung ke Johor akan meningkat lagi, kata Liow.

Pembersihan sisa toksik sepanjang 1.5 km yang dikenal pasti di Sungai Kim Kim telah berjaya diselesaikan pada 17 Mac lepas.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :