BERITA UTAMASELANGOR

Pendapatan isi rumah RM6,000 menjelang 2025 mampu direalisasi

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 7 APRIL: Pendapatan minimum isi rumah di Selangor diyakini mampu mencecah RM6,000 sebulan menjelang 2025, seperti disasarkan Kerajaan Negeri.

EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail berkata, bagi merealisasikannya, Kerajaan Negeri menjalankan usaha berterusan membabitkan pelbagai aspek di pelbagai peringkat.

“Selain menyediakan peluang pekerjaan, Kerajaan Negeri juga membuka peluang perniagaan untuk rakyat Selangor menambah pendapatan keluarga masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan SACC Walk Fiesta di perkarangan SACC Mall dan Kompleks PKNS Shah Alam di sini, malam tadi.

Katanya, pada ketika ini purata pendapatan isi rumah penduduk di Selangor dianggarkan berjumlah RM4,000 sebulan.

Rodziah berkata, sejak 2008, Kerajaan Negeri menyediakan pelbagai program di bawah skim Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) kepada penduduk di Selangor untuk meningkatkan taraf ekonomi keluarga masing-masing.

“Selain IPR, Kerajaan Negeri turut membuka tapak perniagaan seperti Flea Market untuk peniaga kecil dan menggalakkan rakyat meningkatkan tahap kemahiran masing-masing bagi melayakkan mereka mengisi peluang pekerjaan yang memerlukan kemahiran tinggi,” katanya.


Pengarang :