SELANGOR

Penduduk DUN Sungai Panjang cadang guna kaedah lama hantar bil air

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SABAK BERNAM, 5 APR: Penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Panjang mencadangkan kepada pihak Air Selangor supaya menguna pakai kaedah lama semula dalam menghantar bil air kepada mereka.

Cadangan terbabit dikemukan berikutan daripada masalah bil air yang tidak sampai ke rumah sebahagian penduduk kawasan itu sejak diperkenalkan sistem e-bil.

Seorang penduduk, Mohd Yatim Paat, 54, berkata, kaedah lama itu adalah pembaca meter sendiri yang menyerahkan bil air kepada pengguna ketika datang membaca meter.

Katanya, masyarakat setempat merungut kerana air dipotong sebab tidak membayar bil, sedangkan ia berpunca daripada bil yang tidak sampai ke rumah.

“Sistem canggih nak hantar pakai telefon pintar dan emel, tapi orang kampung tak pandai baca emel termasuk saya. Kita harap dapat pakai semula cara lama.

“Selain itu, masalahnya berpunca daripada pejabat pos yang menghantar surat dan bil tidak tepat ke rumah,” katanya ketika ditemui SelangorKini selepas Program Jimat Air bersama Air Selangor di Balai raya Kampung Hala Cara Baru Parit 16, di sini.

Sementara itu, Muhammad Yusof Bin Ahmad, 74, yang adalah penduduk kampung itu, berkata, beliau sudah empat bulan tidak memperoleh dan membayar bil airnya.

Katanya, beliau terkejut apabila menyemak bil tunggakannya kini mencecah RM132.

Pada masa sama, Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Panjang, Dato’ Mohd Imran Tamrin berkata, pihaknya juga meminta Air Selangor untuk mempertimbangkan usulan daripada masyarakat setempat itu.

Imran berkata, kebanyakan penduduk kawasan itu adalah warga tua yang kurang celik berkaitan IT dan teknologi, malah lebih cenderung mendapat bil secara serahan tangan.

Katanya, pihaknya juga berterima kasih kepada Air Selangor kerana sudi turun berdialog bersama penduduk setempat dan mengemaskini data mereka, ia satu usaha yang sangat dihargai.

Bercakap mengenai masalah pos, beliau berkata, pihaknya akan berbincang dengan pejabat pos daerah bagi menyelesaikan kemelut itu.


Pengarang :