NASIONAL

Penemuan tulang: UNITEN naik taraf pagar kampus

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

PUTRAJAYA, 11 APR: Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) memaklumkan akan mengambil langkah menaik taraf pagar kampusnya kepada tembok bagi mengelak pencerobohan pihak luar ke dalam kawasan kampus.

Kenyataan terbabit dikeluarkan berikutan laporan media hari ini mengenai penemuan tulang manusia di sekitar kawasan UNITEN.

Jabatan Komunikasi Korporatnya berkata, rangka manusia itu ditemui di sebuah kawasan hutan ladang getah di sempadan kampus mereka dengan jarak satu kilometer dari padang ragbi UNITEN.

“Tempat penemuan rangka ini adalah kawasan hutan ladang getah yang bersebelahan dengan sebuah tapak pembinaan yang dikendalikan oleh sebuah syarikat swasta.

“Menurut pihak polis rangka yang dijumpai dianggarkan ditinggalkan di tempat berkenaan kira-kira setahun yang lalu. Pihak polis sedang menjalankan siasatan lanjut,” katanya.

Pada masa sama, pihaknya berkata, UNITEN tidak berkompromi dalam aspek keselamatan dan akan sentiasa mengambil langkah sewajarnya bagi menjamin keselamatan pelajar, staf serta pengunjung ke kampus itu.

Pagi tadi, media tempatan melaporkan tulang manusia dipercayai milik wanita ditemukan oleh seorang juru ukur yang sedang melakukan kerja-kerja mengukur tanah di sekitar kawasan UNITEN.

 

 


Pengarang :