NASIONAL

Penetapan harga siling air sukar dilaksanakan – Xavier

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 10 APR: Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli tidak berhasrat menetapkan harga siling air bagi setiap negeri buat masa ini dan menyifatkan ia sukar dilaksanankan di Malaysia.

Menterinya, Dr Xavier Jayakumar berkata, kesukaran itu disebabkan struktur dan komponen utama kos dalam penyediaan perkhidmatan air iaitu kos rawatan dan pengagihan air adalah berbeza mengikut negeri.

“Kos ini secara lazimnya akan meningkat saban tahun selari dengan peningkatan permintaan air bagi menyokong pembangunan ekonomi negara dan pertumbuhan penduduk dalam membawa Malaysia menjadi negara maju,” katanya ketika menjawab soalan lisan yang dikemukakan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin di Dewan Rakyat.

Beliau berkata, cadangan pelarasan tarif melalui Tariff Setting Mechanism (TSM) bertujuan mengimbangi pelaburan dalam penyediaan bekalan air bagi memenuhi keperluan perkhidmatan berkualiti kepada pengguna.

Xavier menjelaskan, tarif air yang rendah pada masa ini tidak melambangkan kos sebenar penyediaan perkhidmatan bekalan air malahan telah menjejaskan prestasi perkhidmatan beberapa operator air, seperti di negeri Perlis dan Pahang.

“TSM dalam konteks ini dapat memastikan operator air mempunyai kedudukan kewangan yang membolehkan mereka terus melabur bagi penyediaan perkhidmatan secara berterusan kepada rakyat Malaysia….”

“…Tambahan lagi, kenaikan kos operasi tahunan tidak diimbangi dengan kenaikan tarif yang setara sekaligus meletakkan beberapa operator air dalam kedudukan kewangan yang sukar untuk memberikan perkhidmatan air yang berkualiti,” katanya.

 

 


Pengarang :