SELANGOR

Pengarah Jabatan Pendidikan Selangor sebak di sambutan hari guru

OLEH NADIAH ZAMLUS

SEPANG, 27 APR: Pengarah Jabatan Pendidikan Selangor sebak ketika menyampaikan ucapan di Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri yang dihadiri hampir 700 warga pendidik dari seluruh Selangor, hari ini.

Mohd Salleh Mohd Kassim hiba berikutan kurang dalam tempoh tiga hari saja lagi akan menamatkan karier dunia pendidikannya kerana bersara.

“Pesanan saya kepada warga guru di Selangor, peliharalah akhlak dan budi pekerti kita sebagai seorang guru supaya terus dipandang tinggi dan menjadi teladan kepada anak didik dan masyarakat.

“Sayangilah profesion perguruan kerana bakti luhur dan jasa murni guru sesungguhnya tidak terbalas. Tanggungjawab kita sememangnya semakin hari semakin kompleks serta mencabar selaras dengan perkembangan yang amat pesat pada masa ini.

“Pada kesempatan ini, saya suka mengingatkan bahawa setiap gerak laku, tutur bicara dan tindakan guru menjadi perhatian dan dinilai oleh masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Sambutan Hari Guru Peringkat Selangor bertempat di Hotel Sama-Sama KLIA, hari ini.

Sambutan yang bertemakan “Guru, Obor Hemah Menyinari Pertiwi” itu turut dihadiri Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Mohd Salleh berkata, guru adalah contoh terhebat kepada murid melalui nilai integriti yang dipamerkan dalam usaha menjalankan tugas yang diamanahkan.

Katanya, guru yang berintegriti menjadi pemangkin untuk memacu sesebuah organisasi ke arah perkhidmatan berkualiti dan cekap yang menyumbang kepada pembangunan negara yang berkesan.

“Dengan erti kata lain, integriti dalam diri guru amat penting, kerana masa hadapan murid, bangsa dan negara ditentukan oleh corak didikan yang disemai oleh guru pada hari ini.

“Oleh itu, guru perlu melaksanakan tugas dengan amanah, dengan adil, berdedikasi, prihatin, penuh kasih sayang dan memiliki tahap kesabaran yang tinggi,” katanya.

Pada majlis sama, empat guru dianugerahkan Tokoh Guru Peringkat Selangor, iaitu Dato’ Mahmud Karim, Bahari Bustamam, Nur Hainei Abu Bakar dan Mohamad Alwan Ginen.

 

 


Pengarang :