NASIONAL

Pengerusi SIRIM terima pingat kebesaran dari Jepun

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

KUALA LUMPUR, 7 APRIL: Pengerusi SIRIM, Tan Sri Dr Ahmad Tajuddin Ali menerima pingat kebesaran The Order of the Rising Sun, Gold Rays with Neck Ribbon daripada Kerajaan Jepun, pada 4 April lalu.

Pengiktirafan itu diberi berikutan sumbangannya dalam menggalakkan kerjasama ekonomi antara Jepun dan Malaysia.

Duta Besar Jepun ke Malaysia, Dr Makio Miyaga berkata, Ahmad Tajuddin mempunyai kerjaya cemerlang di dalam sektor kerajaan dan korporat.

Malah, beliau pernah menerajui beberapa organisasi antaranya sebagai Pengerusi Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB), Pengerusi Gas Malaysia Sdn Bhd dan Pengerusi Suruhanjaya Tenaga Malaysia, kata Miyagawa.

“Semasa menjadi Pengerusi Suruhanjaya Tenaga, Ahmad Tajuddin menganjurkan persidangan pertama berkaitan bekalan dan permintaan tenaga.

“Beliau juga menyediakan peluang berharga kepada Jepun berkongsi pengetahuan serta pengalaman dengan Malaysia berkenaan menambah baik keselamatan tenaga di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Miyagawa berkata, sepanjang memegang jawatan sebagai Ketua Pengarah SIRIM dari 1989 hingga 1996, beliau membangunkan standard keselamatan bagi produk elektrikal yang dibuat di Malaysia.

“Ini membantu meningkatkan keselamatan dalam kalangan pengguna di Malaysia dan mengukuhkan daya saing produk elektrikal hasil buatan di negara ini termasuklah yang dihasilkan syarikat elektirk dan eletronik Jepun,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu adalah Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Prof Ir Dr Ahmad Fadzil Mohd Hani, Ketua Pegawai Eksekutif SIRIM QAS International, Mohd Azanuddin Salleh dan Naib Presiden Kewangan Kumpulan SIRIM, Sabarina Harun.


Pengarang :