BERITA UTAMASELANGOR

Pengguna lega, kerja baikpulih air selesai segera

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 25 APR: Pengguna mampu menarik nafas lega apabila kerja baikpulih air selesai segera, berbanding jangkaan awal yang mencecah tiga hari.

Semalam, Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abdul Raof Ahmad memaklumkan, kerja-kerja penambahbaikan sistem bekalan air di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2 (LRA SSP2) siap dilaksanakan pada jam 11 malam tadi.

Makluman itu melegakan pengguna dan rata-rata rakyat negeri ini meluahkan rasa seronok melalui laman facebook rasmi Air Selangor.

“Terima kasih, ia adalah kejutan yang amat menyeronokkan. Terima kasih Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Charles Santiago dan semua kakitangan, ini adalah tugas yang amat baik,” kata Irene Soh di ruangan komen.

“Syabas!. Di bawah pantauan kerajaan baru kerja baik pulih semakin efisien berbanding dulu, tak sampai 24jam dah pun siap. Mulai bulan depan saya akan bayar bil air tepat pada masanya,” kata Ah Don.

“Kepada yang menyimpan air sebelum ini, jangan dibuang air berkenaan begitu sahaja. Air itu mungkin boleh digunakan untuk mebasuh baju, mencuci pinggan, menyiram pokok dan sebagainya.

“Jangan lupa juga untuk menutup air yang ditadah bagi mengelakkan nyamuk membiak,” kata Fiona Thong.

Terdahulu, Air Selangor dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa loji diaktifkan semula dan proses penyaluran bekalan air terawat ke kolam-kolam utama dan sistem agihan utama akan dilaksanakan sebelum bekalan dapat disalurkan kepada pengguna.

Proses berkenaan dijangka mengambil masa dalam tempoh 24 jam, dan proses pemulihan berlangsung secara berperingkat dan berbeza di setiap kawasan bergantung kepada geografi dan altitud premis pelanggan.

 


Pengarang :