NASIONAL

Pengundian PRK DUN Rantau bermula

SEREMBAN, 13 APR: Pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau bermula sebaik sahaja 14 pusat mengundi membabitkan 53 saluran dibuka tepat pada pukul 8 pagi ini.

Proses mengundi yang berlangsung sembilan jam setengah itu membabitkan seramai 20,793 orang daripada keseluruhan 20,804 orang pengundi biasa layak mengundi dengan 11 daripadanya mengundi secara pos, sebelum ia ditutup pada 5.30 petang ini.

Pada 9 April lepas, seramai 110 pengundi awal terdiri daripada anggota Angkatan Tentera Malaysia serta pasangan dan Polis Diraja Malaysia selesai menjalankan tanggungjawab masing-masing dan ia merekodkan peratusan keluar mengundi sebanyak 96 peratus.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menempatkan seramai 515 petugas di semua pusat pengundian dan menjangkakan 70 peratus pengundi di kawasan DUN itu akan keluar mengundi.

Jabatan Meteorologi meramalkan cuaca baik pada sebelah pagi dan ribut petir di satu dua tempat pada sebelah petang di Seremban, esok.

PRK berkenaan menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan (PH), Dr S. Streram; calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan; dan dua calon Bebas iaitu suri rumah R. Malarvizhi dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin.

Dr Streram dijangka mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Rantau, Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO dan Malarvizhi di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Chung Hua ,manakala Mohd Nor tidak mengundi memandangkan beliau pengundi kawasan DUN Gemencheh, Tampin.

Pusat penjumlahan undi diadakan di Dewan Serbaguna Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Bandar Sri Sendayan.

Daripada jumlah tersebut 20,804 pengundi, 55.51 peratus atau 11,615 adalah pengundi Melayu, Cina (18.46 peratus atau 3,863), India (26 peratus atau 5,441) dan lain-lain (0.03 peratus atau tujuh).

PRK itu diadakan berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad, yang juga penyandang DUN Rantau selama tiga penggal, untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 16 November tahun lalu, yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 terbatal dan tidak sah.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :