NASIONAL

Pengundian PRK DUN Rantau esok

SEREMBAN, 12 APR: Pemilih berdaftar bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau akan menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat mereka esok selepas 14 hari tempoh berkempen.

Empat calon bertanding pada PRK itu terdiri daripada calon Pakatan Harapan (PH), Dr S. Streram, calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan dan dua calon Bebas iaitu suri rumah, R. Malarvizhi serta bekas pensyarah Mohd Nor Yassin.

Sebanyak 14 pusat mengundi membabitkan 53 saluran dibuka 8 pagi hingga 5.30 petang.

Seramai 20,793 orang daripada 20,804 orang pengundi biasa layak mengundi dan daripada jumlah tersebut, seramai 11 orang telah mengundi secara pos.

Dr Streram dijangka mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Rantau, Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO dan Malarvizhi di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Chung Hua manakala Mohd Nor tidak mengundi memandangkan beliau pengundi kawasan DUN Gemencheh, Tampin.

Seramai 515 orang petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bertugas bagi proses pengundian esok.

DUN Rantau yang memiliki keluasan 15,960.74 hektar, mempunyai seramai 20,926 orang pemilih berdaftar terdiri daripada 20,804 pengundi biasa, empat orang pengundi tidak hadir luar negara dan selebih 118 pengundi awal.

Daripada jumlah tersebut, 55.51 peratus atau 11,615 adalah pengundi Melayu, Cina (18.46 peratus atau 3,863), India (26 peratus atau 5,441) dan lain-lain (0.03 peratus atau tujuh).

PRK DUN Rantau adalah PRK ketujuh selepas PRU14 pada 9 Mei 2018, dengan yang pertama diadakan di DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos, DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 September), Parlimen Port Dickson (13 Oktober), Parlimen Cameron Highlands (26 Januari) serta DUN Semenyih (2 Mac).

PRK itu diadakan berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad, yang juga penyandang DUN Rantau selama tiga penggal untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 16 November tahun lalu, yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 terbatal dan tidak sah.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :