PBTSELANGOR

Peniaga bazar Ramadan dinasihat jaga kebersihan

OLEH SHEEDA FATHIL

CYBERJAYA, 8 APRIL: Peniaga di bazar Ramadan di daerah Sepang dinasihatkan supaya sentiasa menjaga kebersihan gerai masing-masing.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang), Mohd Fauzi Yatim berkata, penjagaan kebersihan bukan sahaja dalam aspek penyediaan makanan, tetapi termasuk lokasi persekitaran.

Beliau turut menyarankan peniaga mendapatkan suntikan typhoid dengan segera sebelum memulakan perniagaan.

“Orang ramai juga dinasihatkan untuk bersikap memilih dan lebih teliti dalam soal kebersihan ketika membeli makanan di bazar Ramadan.

“Ia penting bagi menjamin tahap kesihatan dan mengelakkan keracunan seperti gejala muntah serta cirit-birit disebabkan makanan yang sudah tercemar,” katanya.

Pada masa sama, Mohd Fauzi berkata, MPSepang akan memberi penghargaan kepada peniaga yang kreatif dan menampilkan imej bersih ketika menjalankan perniagaan.

Terdahulu, sebanyak 717 tapak bazar Ramadan akan dibuka di 13 lokasi di sekitar daerah Sepang.

Antara lokasi terpilih adalah Cyberjaya, Desa Pinggiran Putra, Taman Mas, Sungai Merab, Taman Ambar, Dengkil Jaya, Sungai Pelek, Sepang Putra, Kipmall Kota Warisan, Taman Putra Perdana, Kosmopleks dan Salak.


Pengarang :