BERITA UTAMASELANGOR

Peniaga Uptown Shah Alam gembira kembali ke tapak lama

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 11 APR: Peniaga bazar larut malam ‘Uptown’ Shah Alam, Seksyen 24 menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) susulan penyerahan surat serah tapak bagi membolehkan mereka berniaga semula seperti biasa, semalam.

Lebih manis, penyerahan itu berlangsung menjelang ketibaan Ramadan bulan hadapan selepas menanti hampir enam bulan.

Faridah Abd Ghafur, 55, berkata, keprihatinan PKNS dan Kerajaan Negeri mengenai kebajikan peniaga sangat dihargai terutama penyediaan tapak sementara serta pemberian bantuan untuk mereka kembali meneruskan perniagaan

Beliau yang menjalankan perniagaan pakaian lebih 10 tahun di sini mengakui pendapatnnya sedikit terjejas sepanjang berada di tapak sementara tetapi usaha penyiapan baik pulih dalam tempoh ditetapkan menggembirakan semua peniaga.

“PKNS bagi kita tapak sementara, serta merta mereka terus pindahkan kita ke sana. Itu tanda mereka ambil berat

“Saya lega sangat sebab dah nak puasa….(tapak) di luar ada rezeki, cuma kat dalam lebih baik tapi PKNS buat (baik pulih) cepat, ramai yang berpuas hati,” katanya.

Mengenai tapak yang sudah siap dibaik pulih, beliau mengakui ia lebih selesa berbanding dahulu tambahan dengan sistem pendawaian elektrik baharu.

Pandangan sama turut diberikan Taharah Yusof, 53, mengharapkan ketibaan Ramadan kali ini akan memberikan lebih rezeki kepada semua peniaga terutama yang terjejas dalam kebakaran, 12 November tahun lalu.

Katanya, peniaga boleh masuk semula ke tapak asal hari ini dan kembali berniaga seperti biasa.

“Saya bersyukur sangat sebab kita menunggu agak lama dan terpaksa berniaga di tapak sementara tambahan sudah hampir nak puasa…”

“Kita mengharapkan pulangan yang lebih baik selepas insiden kebakaran. Kita doakan yang terbaik insya-Allah,” katanya.

Terdahulu, PKNS membina semula dan membaiki tapak perniagaan Uptown Shah Alam yang rosak dengan kos RM1.47 juta mengikut jangkaan tempoh siap selama empat bulan iaitu selewat-lewatnya April ini.

Sepanjang tempoh baik pulih, PKNS turut mendirikan khemah perniagaan sementara dengan kos RM160,000 kepada peniaga untuk tempoh enam bulan.

Selain itu, kesemua 29 peniaga terjejas turut menerima bantuan khas membabitkan Dana Ehsan (Bencana Alam) daripada Kerajaan Negeri.

Dalam kejadian kebakaran sekitar jam 5 pagi, 12 November tahun lalu, sebanyak 41 lot perniagaan terjejas bagaimanapun tiada kemalangan jiwa.

 

 


Pengarang :