NASIONAL

Penjajaran ECRL selamatkan Permatang Kuarza

OLEH NAZLI IBRAHIM

PUTRAJAYA, 17 APRIL: Penjajaran semula Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dibuat bagi memastikan Permatang Kuarza Gombak tidak terjejas dan dikekalkan ekoran nilai warisannya yang tinggi.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, rabung kuarza terbabit adalah salah satu aset penting dan kuarza tulen terpanjang dunia.

“Penjajaran baharu tidak lagi akan melalui Bentong dan Gombak, sebaliknya menuju selatan melalui Mentakab ke Kuala Klawang di Negeri Sembilan sebelum memasuki Selangor melalui Bangi / Kajang serta menuju ke Putrajaya Sentral dan akhirnya ke Pelabuhan Klang,” katanya pada sidang media di Putrajaya, pada Isnin.

Katanya, di bawah jajaran dalam perjanjian asal, ECRL akan melalui Kelantan, Terengganu, dan Pahang sebelum menuju ke Selangor melalui Gombak ke Serendah serta Pelabuhan Klang yang mampu menjejaskan Permatang Kuarza Gombak.

Dr Mahathir berkata, ia adalah peningkatan ketara berbanding laluan ECRL ke Gombak, yang hanya mempunyai satu persimpangan dengan talian aliran transit ringan (LRT).

“Bagi pembinaan stesen Bangi / Kajang, penumpang KTM Komuter dan ETS juga boleh bertukar kereta api ke ECRL yang meningkatkan stesen pertukaran berbanding jajaran asal,” katanya.

Sementara itu, Bernama melaporkan kerajaan Malaysia akan mendapatkan bantuan kerajaan China jika Jho Low berada di republik itu.

Menurut laporan terkini media, dalang skandal 1Malaysia Development Berhad itu dipercayai tinggal di China dan dikatakan melakukan perjalanan ke Hainan, Hong Kong dan Beijing, baru-baru ini.

Selain Malaysia, Jho Low juga sedang diburu Singapura dan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat.


Pengarang :