Penjajaran semula IPR, usaha kukuh kewangan negeri | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Afeeqa Afeera

Penjajaran semula IPR, usaha kukuh kewangan negeri

KUALA SELANGOR, 26 APRIL: Kerajaan Negeri hari ini mengumumkan penjajaran semula Inisiatif Peduli Rakyat (IPR), dalam usaha memperkukuh kedudukan kewangan negeri.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dalam sidang media di Dewan Raja Lumu, di sini berkata, penjajaran semula itu membabitkan tiga program iaitu Kasih Ibu Smart Selangor (KISS), Skim Peduli Sihat (SPS) dan Skim Mesra Usia Emas (SMUE).

IPR adalah inisiatif berbentuk kebajikan yang diperkenalkan Kerajaan Negeri sejak 2008 untuk membantu rakyat Selangor.


Berikut adalah kenyataan penuh Amirudin berhubung penjajaran semula IPR:

Pelaksanaan Program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS)

 Pemberian manfaat bagi program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) bagi tahun 2019 diteruskan kepada semua penerima sedia ada sehingga 31 Mei 2019.

Bermula 1 Julai 2019, pemberian manfaat KISS diteruskan dengan jumlah yang sama iaitu RM 200 sebulan kepada penerima sedia ada yang berdaftar, memenuhi kelayakan dan tersenarai dalam senarai penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) atau tersenarai dalam Sistem eKasih.

Langkah ini dilaksanakan bagi memastikan bahawa penerima manfaat KISS adalah terdiri daripada golongan yang benar-benar layak dan golongan yang sangat memerlukan berdasarkan proses pengesahan melalui semakan silang dengan senarai penerima BSH atau Sistem eKasih yang dilaksanakan dengan kerjasama Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Selain daripada itu, penerima KISS sedia ada yang belum mendaftarkan diri bagi BSH mahupun eKasih, adalah dinasihatkan untuk segera membuat pendaftaran bagi membolehkan manfaat KISS bagi tahun 2019 terus dinikmati. Pendaftaran boleh dilakukan dengan mengisi lengkap borang eKasih yang boleh didapati disemua Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) dim seluruh Selangor atau secara online di laman web Bantuan Sara Hidup (http://bsh.hasil.gov.my)

Pelaksanaan Skim Peduli Sihat (SPS)

Kerajaan Negeri akan membuat pengemaskinian bagi senarai penerima Skim Peduli Sihat (SPS) sedia ada melalui maklumat yang terdapat di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan sistem eKasih. Pengemaskinian ini akan mengambil tempoh sebulan bagi pihak pelaksana iaitu pihak Selgate untuk mengemaskini data penerima. Pengemaskinian ini merupakan kali pertama dilaksanakan selepas ia dilancarkan pada tahun 2017. Setelah 2 tahun dilaksanakan, proses pengemaskinian ini adalah perlu bagi memastikan manfaat Kad Peduli Sihat dirasai oleh golongan yang benar-benar memerlukan. Keutamaan bagi penerima yang baru adalah kepada keluarga yang berpendapatan isi rumah RM2,000 ke bawah.

Proses pengemaskinian ini akan dilaksanakan selama sebulan bermula pada 1 Mei 2019. Dalam tempoh tersebut, semua operasi rawatan di panel klinik akan diberhentikan bagi membantu melancarkan urusan. Sehingga kini, sebanyak 390,524 kad Peduli Sihat telah dikeluarkan bagi memberi manfaat rawatan asas kepada rakyat Negeri Selangor.

Selain daripada itu, pemegang Kad Peduli Sihat sedia ada yang belum mendaftarkan diri bagi BSH mahupun eKasih, adalah dinasihatkan untuk segera membuat pendaftaran bagi membolehkan manfaat Skim Peduli Sihat bagi tahun 2019 terus dinikmati. Pendaftaran boleh dilakukan dengan mengisi lengkap borang eKasih yang boleh didapati disemua Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) diseluruh Selangor atau secara online di laman web Bantuan Sara Hidup (http://bsh.hasil.gov.my)

Pelaksanaan Program Skim Mesra Usia Emas (SMUE)

Sejajar dengan aspirasi Kerajaan Negeri Selangor untuk menjaga kebajikan golongan usia emas, Kerajaan Negeri Selangor berhasrat untuk memberikan baucer Jom Shopping bernilai RM 100.00 setiap tahun kepada warga emas.  Jumlah peruntukan untuk program Jom Shopping Warga Emas ini adalah RM20juta setahun.

Manfaat ini akan diberikan kepada warga emas yang berdaftar di bawah Skim Mesra Usia Emas sempena musim perayaan, bermula pada bulan Oktober tahun ini. Menerusi langkah ini, kerajaan negeri menjangkakan seramai 200 ribu lebih warga emas akan dapat menikmati manfaat ini semasa mereka hidup.

Ini adalah bertepatan dengan hasrat Kerajaan Negeri Selangor yang menghargai golongan warga emas dan mahu mereka menikmati hasil negeri semasa mereka masih hidup. Baucer Jom Shopping ini akan membantu golongan warga emas dalam membeli barang keperluan asas sebagai kelengkapan menjelang musim perayaan.

Sejajar dengan penjajaran semula yang dibuat ini, tiada lagi sebarang pembayaran wang khairat kematian kepada waris/ ahli keluarga bagi warga emas yang berdaftar yang meninggal dunia selepas 30 April 2019. Tempoh tuntutan khairat kematian hendaklah dibuat selewat-lewatnya sebelum 31 Mei 2019.

Sehingga kini, sebanyak RM 256 juta (seramai 103,320 orang warga emas yang meninggal dunia) telah dibelanjakan bagi membayar wang khairat kematian bernilai RM2,500 kepada waris-waris, sejak permulaan skim ini pada 1hb Oktober 2008.

Penutup

Dalam usaha memperkukuh kedudukan kewangan negeri, saya yakin bahawa seluruh warga Selangor dapat memahami asas-asas keputusan ini diambil meskipun ada beberapa implikasi yang terhasil dari ketetapan Kerajaan Negeri ini.

Langkah penjajaran Inisiatif Peduli Rakyat ini dilaksanakan demi memastikan kedudukan kewangan negeri yang stabil dan mapan , sekaligus natijahnya nanti akan memastikan bantuan-bantuan yang disalurkan oleh kerajaan kepada rakyat dapat diteruskan untuk suatu jangka masa yang panjang (sustainable). Selain itu beberapa proses pengemaskinian dilaksanakan kerana Kerajaan Negeri Selangor mahu memastikan manfaat-manfaat bantuan tersebut disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukannya.

Sudah pasti langkah penjajaran ini mengundang ketidakselesaan dan seterusnya mencetus perbandingan dengan kelompok lainnya. Di sinilah persefahaman semua pihak amat diharapkan dalam memahami tujuan dan matlamat sebenar Inisiatif Peduli Rakyat iaitu ke arah mensasar bantuan kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

Penjajaran Inisiatif ini juga sama sekali tidak bermakna kesejahteraan atau kepedulian ke atas kelompok lain dikesampingkan, tetapi penumpuan terhadap peningkatan tahap sistem penyampaian perkhidmatan; pembangunan dan pengurusan infrastruktur serta persekitaran hidup yang kondusif, adalah mauduk utama yang difokuskan Kerajaan Negeri Selangor demi kepentingan semua kelompok baik T20 dan M40.

Pendekatan holistik ini tuntas bertujuan untuk terus memacu pertumbuhan ekonomi Negeri agar prinsip ‘Selangor Maju Bersama’ yang menjadi tema pembangunan negeri akan berjaya direalisasikan.

 

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next