SELANGOR

Penjawat awam sambut baik seruan MB

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SHAH ALAM, 15 APR: Penjawat awam Negeri Selangor menyambut baik seruan Dato’ Menteri Besar supaya kakitangan kerajaan negeri itu menyumbang lebih kudrat dan komitmen dalam berkhidmat untuk Kerajaan Negeri dan rakyat.

Penerima Anugerah Cemerlang (APC) 2018 bagi kategori Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Mastura Muhammad berkata, beliau tertarik dengan ucapan Dato’ Menteri Besar yang meminta seluruh penjawat awam ‘go fo extra miles’

Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam (PPAS) itu juga berkata, jika semua kakitangan kerajaan memberi komitmen sepenuh jiwa dalam berkhidmat, ia secara langsung memberi manfaat kepada lebih 6 juta rakyat Selangor.

“Kalau kita nampak usaha kita memberi kesan secara langsung pada masyarakat, saya yakin kita akan bekerja lebih keras. Dan yakinlah bahawa usaha kita akan mendapat keberkatan daripada Allah,” katanya.

Beliau berkata demikian, ketika ditemui media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2018 bagi Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, di sini, hari ini.

Sementara itu, penerima Anugerah Jasamu Dikenang (APD) 2019, Dato’ Bakhtiar Hussin berkata, beliau bersetuju dengan kenyataan Dato’ Menteri Besar yang mengingatkan penjawat awam supaya tidak terlalu selesa dan alpa dalam kejayaan sekarang.

Beliau yang bersara sebagai Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Disember lalu berkata, pegawai kerajaan perlu meningkatkan kemahiran masing-masing dalam menghadapi cabaran baharu dunia tanpa sempadan hari ini.

“Sekarang semua sudah ada di hujung jari, jadi perlu ada iltizam meningkatkan keberkesanan cara kerja kita. Tak boleh selesa dengan cara lama dan wajib mahirkan diri dengan teknologi baharu,” katanya.

Pada majlis terbabit, seramai 170 penjawat awam Pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor (PSUK) menerima APC2018 dan AJD 2019.


Pengarang :