SELANGOR

Penyelamat tragedi Highland Towers terima anugerah sepanjang hayat MPSJ

OLEH NADIAH ZAMLUS

SUBANG JAYA, 8 APR: Penyelamat tragedi Highland Towers, Ahmad Khairul Anuar Shaari, diberi penghormatan dengan menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat oleh Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), hari ini.

Beliau yang berkhidmat sebagai pembantu penguatkuasa MPSJ itu turut pernah merangkul Anugerah Pingat Jasa Malaysia pada 2014 kerana menentang pengganas komunis.

Sepanjang berkhidmat dengan MPSJ, lelaki berusia 60 tahun itu turut menerima Anugerah Warga Kerja Cemerlang pada 2005 dan Pingat Jasa Kebaktian pada 2004.

Ahmad Khairul berkata, beliau tidak pernah berbangga dengan kesemua pencapaian yang pernah dikecapinya, sebaliknya mahu ia dijadikan dorongan kepada rakan sejawatan dan anak muda masa kini.

“Antara tips mudah saya ialah, pekerja zaman sekarang perlu menanam semangat setiakawan diantara satu sama lain, barulah sesuatu pekerjaan yang dilakukan akan bertambah seronok.

“Terima kasih kepada MPSJ kerana tidak pernah melupakan jasa saya dan kakitangan lain, kerana usaha dan disiplin kita semua, akhirnya MPSJ berjaya pada kedudukannya pada hari ini,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Apresiasi Warga Kerja MPSJ 2018 di Holiday Villa Hotel & Conference Centre, di sini.

Selain Ahmad Khairul, Pengarah Bahagian Komunikasi dan Korporat, Hamizun Mohamad Basar dan Nura Khalil dari Jabatan Khidmat Pengurusan turut menerima anugerah yang sama.

Sementara itu Yang Dipertua MPSJ, Noraini Roslan berkata, pemilihan penerima anugerah itu dibuat berdasarkan sumbangan mereka dalam mengharumkan nama MPSJ di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Mereka juga menjadi tempat rujukan warga kerja, pada masa sama kesemuanya mempunyai sahsiah diri terpuji dan menjadi contoh dari aspek disiplin, keterampilan diri serta mudah didekati rakan sekerja.

“Semoga anugerah ini menjadi pemangkin untuk semua warga kerja meningkatkan mutu perkhidmatan selaras dengan misi MPSJ menjadi 30 perbandaran terbaik di dunia,” katanya.


Pengarang :