SELANGOR

Penyelidik wakil rakyat perlu pendidikan kukuh

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 18 APRIL: Penyelidik kepada seorang Ahli Dewan Negeri (ADN) perlu mempunyai latar belakang kukuh dalam penyelidikan dan pendidikan, kata Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman.

Pengarah Eksekutif Institusi Darul Ehsan (IDE) berkata, mereka berdepan tugas dan tanggungjawab mencabar dalam menyediakan kertas penyelidikan untuk wakil rakyat bagi tujuan perbahasan supaya ia bermutu dan mencapai objektif.

“Kesahihan input dan maklumat yang akan disalurkan kepada ADN adalah penting. Penyelidikan efektif merupakan kunci kepada kualiti perbahasan dan soalan yang dilontarkan dalam sidang dewan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Bengkel Penyelidik Efektif Dewan Negeri Selangor (DNS), di Bilik Gerakan Negeri, di sini.

Mengulas penganjuran bengkel itu, Dr Mohammad Redzuan berkata, ia bertujuan memberikan pendedahan dan pengalaman untuk menjadi penyelidik yang efektif.

Katanya, IDE juga komited dalam melaksanakan program pendidikan politik, kewarganegaraan dan demokrasi rakyat.

“Keyakinan saya kepada perkembangan demokrasi melalui reformasi ini dan keterampilan ‘figure’ seperti pegawai penyelidik yang dibawa khusus untuk meratakan pengetahuan di peringkat negeri,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut berharap supaya sidang DNS mampu mencapai standard reformasi seperti yang diimpikan.

“Semoga DNS mampu menakhoda misi reformasi DUN dan diikuti dalam gelombang perubahan sistem negara serta menyuburkan sistem demokarasi,” katanya.

Sebelum ini, IDE berjaya melaksanakan Bengkel Penyelidik Efektif di Kedah dan bakal memeterai program kerjasama dengan pejabat Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Melaka, Johor dan Negeri Sembilan dalam masa terdekat.


Pengarang :