NASIONAL

Penyokong Najib buat kecoh tidak dapat ikuti perbicaraan

KUALA LUMPUR, 3 APR: Seorang penyokong bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membuat kecoh di hadapan bilik bicara Mahkamah Tinggi Jenayah di sini selepas tidak dibenarkan masuk bagi mengikuti prosiding hari pertama bagi kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.

Penyokong itu yang merupakan bekas anggota Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan yang jelas marah kemudian ditenangkan oleh anggota polis bertugas dan penyokong lain.

Gobalakrishnan yang tidak berpuas hati dengan arahan daripada pihak mahkamah itu berkata dalam nada yang kuat bahawa mahkamah itu adalah mahkamah rimba dan bukannya mahkamah rakyat kerana tidak membenarkan penyokong masuk mengikuti prosiding berkenaan.

Selepas ditenangkan, beliau berundur dan meninggalkan ruang legar di hadapan bilik bicara.

Hari ini merupakan hari pertama perbicaraan Najib, 66, yang didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan salah guna kuasa membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Pada 8 Ogos 2018, Najib, yang juga anggota Parlimen Pekan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama daripada dana serupa.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :