SUKANKINI

Pep Guardiola atau Jurgen Klopp, siapa berhak julang trofi PL?

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 29 APR: Musim 2018/19 Liga Perdana Inggeris bakal melabuhkan tirai Mei hadapan dengan tinggal dua baki perlawanan selepas semua pasukan menamatkan perlawanan ke-36 hujung minggu lalu.

Untuk pertama kalinya dalam sejarah, dua kelab dipimpin bekas pengurus pasukan di Bundesliga, Jerman berjaya mencapai pungutan melebihi 90 mata dalam satu musim melepasi pungutan mata Arsenal ketika mereka meraih trofi ‘Invicible’ pada 2003/04 (90 mata).

Juara bertahan, Manchester City hanya berkelebihan satu mata di hadapan pesaing terdekat, Liverpool yang terus memberikan tekanan untuk melakar kejayaan pertama selepas kali terakhir menjulang trofi liga pada musim 1989/90.

The Citizen yang kini mengumpul 92 mata akan menentang Leicister City di gelanggang sendiri pada 7 Mei sebelum menentang Brighton & Hove Albion pada hari terakhir liga, seminggu kemudian.

Dengan 91 mata, The Reds akan beraksi menentang pasukan bimbingan bekas pengurus, Rafa Benitez; Newcastle United di gelanggang lawan sebelum menantikan kunjungan Wolverhampton Wanderers di Anfield pada 12 Mei hadapan.

Peluang dilihat lebih memihak skuad bimbingan Pep Guardiola yang dijangka tidak berdepan masalah untuk mengutip enam mata penuh dalam baki perlawanan musim ini.

Tanpa tekanan dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL), Manchester City boleh memberikan tumpuan sepenuhnya untuk menyiapkan pemain bagi menyekat hajat Liverpool untuk musim kedua berturut-turut.

Laluan berliku pastinya menanti Jurgen Klopp kerana mereka akan ke Nou Camp pertengahan minggu ini untuk menghadapi perlawanan separuh akhir pertama UCL menentang Barcelona.

Barcelona yang baharu sahaja dinobatkan juara La Liga buat kali ke-26 selepas menewaskan Levante 1-0 minggu lalu pastinya mahu menambah koleksi kejuaraan dengan meraih keputusan positif di laman sendiri.

Untuk rekod, kali terakhir Liverpool ke Nou Camp pada 12 Mei 2007 menyaksikan mereka menang 1-2 hasil jaringan John Arne Riise dan Craig Bellamy sebelum tewas 0-1 di laman sendiri pada perlawanan kedua.

Walaupun Liverpool hanya tewas sekali dalam aksi musim ini, keputusan seri bertemu tujuh pasukan; Arsenal, Chelsea, Manchetser United, Everton, Manchetser City, Leicister City dan West Ham United nyata merencatkan impian mereka sedangkan mampu melebarkan jurang tujuh mata ketika pertengahan liga.

Berbanding City, mereka hanya mencatatkan dua keputusan seri setakat ini walaupun tewas empat perlawanan liga dengan menjaringkan 68 gol serta 22 bolos.

Sehingga ini, hanya ‘keajaiban’ yang mampu membantu Liverpool menjulang trofi liga dengan syarat mereka mengutip enam mata penuh dalam dua baki perlawanan tanpa boleh melakukan sebarang kesilapan.

Newcastle pernah menewaskan Manchester City 2-1 di laman sendiri dan tidak mustahil perkara itu mampu dilakukan walaupun mereka tewas 4-0 kepada Liverpool di Anfield pada perlawanan ke-19.

Wolverhampton Wanderers yang pernah menjadikan Liverpool mangsa mereka ketika saingan Piala FA pastinya mahu mencatatkan keputusan yang baik sebagai pengakhiran musim ini.

Keputusan seri atau kalah akan meleburkan impian kedua-dua pasukan ini tetapi kemenangan penuh akan menobatkan Manchester City selaku juara musim ini dengan kelebihan satu mata.

Tidak ketinggalan, perebutan kasut emas juga menyaksikan pertembungan tiga penggempur utama iaitu Mohamed Salah dengan 21 gol sementara rakan sepasukan Sadio Mane dan penyerang Mancester City, Sergio Arguero masing-masing menjaringkan 20 gol.

Mohamed Salah selaku juara bertahan pastinya mahu mengekalkan kejuaraan dan kemenangan itu tentu bertambah manis jika Liverpool menjulang sekurang-kurangya satu piala musim ini.

Kredit Foto: Facebook Premier League


Pengarang :