BERITA UTAMA EKONOMI

Perangsang Selangor umum dividen khas 32.6 sen

KUALA LUMPUR, 27 APR: Syarikat pegangan pelaburan, Kumpulan Perangsang Selangor Bhd (Perangsang Selangor) mengumumkan dividen khas sebanyak 32.6 sen sesaham biasa untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember ini.

Dividen khas itu akan dibayar pada 28 April kepada para pemegang saham yang berdaftar di dalam Rekod Pendeposit semasa penutupan perniagaan pada 15 Mei, katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Perangsang Selangor mempunyai perniagaan teras dalam sektor pembuatan, perdagangan, perlesenan dan infrastruktur.

Jumlah pembayaran dividen khas ini adalah sebanyak RM175.188 juta.

Selain daripada dividen khas, lembaga pengarah Perangsang Selangor mencadangkan untuk kelulusan para pemegang saham, dividen tahunan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018 berjumlah RM22.8 juta atau 4.25 sen sesaham biasa.

Dividen tahunan ini, yang akan dibayar pada 19 Julai 2019, adalah layak bagi para pemegang saham yang berdaftar di dalam Rekod Pendeposit semasa penutupan perniagaan pada 28 Jun 2019.

“Memulangkan modal kepada pemegang-pemegang saham dalam bentuk dividen khas sebanyak 32.6 sen ini, mencerminkan hasil langkah korporat Perangsang Selangor yang dilaksanakan baru-baru ini, selain daripada kedudukan kewangan yang kukuh dan keyakinan kami terhadap masa depan kewangan syarikat.

“Ianya juga adalah sebagai ganjaran kepada para pemegang saham kami di atas sokongan berterusan mereka kepada langkah korporat dan inisiatif strategik syarikat. Lebihan modal kami kekal pada paras yang membolehkan kami mendapat fleksibiliti kewangan bagi mengembangkan perniagaan dan memastikan lembaran imbangan yang sihat,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan/Pengarah Urusan Perangsang Selangor, Ahmad Fariz Hassan.

Syarikat bersekutu milik 30 peratus Perangsang Selangor, Syarikat Pengeluar Air Selangor Holdings Bhd (SPLASH Holdings) telah menerima tawaran pengambilalihan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) daripada Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) melalui perolehan 50,000,000 saham biasa bernilai RM1.00 sesaham dan 350,000,000 Saham Pinjaman Tanpa Cagaran Boleh Tebus di dalam SPLASH untuk balasan tunai sebanyak RM2.55 bilion pada 9 Ogos 2018.

Pada 24 April 2019, SPLASH Holdings menerima RM1.9 bilion daripada Air Selangor sebagai bayaran peringkat pertama bagi penjualan SPLASH, yang mana Perangsang Selangor berhak untuk menerima RM570.0 juta.

Kemudiannya, pada hari sama, Perangsang Selangor, melalui subsidiari milik penuh iaitu Viable Chip (M) Sdn Bhd yang memiliki 30 peratus SPLASH Holdings, menerima RM570.0 juta.

Ahmad Fariz berkata, lembaga pengarah telah mempertimbangkan tiga pilihan mengenai bagaimana hasil keuntungan daripada penjualan SPLASH akan digunakan, salah satu daripadanya adalah pemberian dividen khas.

Dua opsyen lain merangkumi pengurangan pinjaman serta pengembangan perniagaan.

Kesimpulan daripada pelaburan Perangsang Selangor dalam SPLASH, bukan sahaja ia menandakan resolusi mengenai penyatuan dalam industri air tetapi turut membolehkan Perangsang Selangor untuk meningkatkan tumpuan terhadap perniagaan terasnya, yang akhirnya, melonjakkan lagi nilai-nilai bagi pihak yang berkepentingan.

“Dengan selesainya, penjualan SPLASH, kami sudah boleh menumpukan sepenuhnya langkah Pelan Penciptaan Nilai dan Transformasi Perniagaan kami bagi membuka potensi perniagaan teras kami, untuk kekal di landasan yang betul bagi mewujudkan nilai jangka panjang dan menjana lebih pulangan kepada Perangsang Selangor dan para pemegang saham kami,” kata Ahmad Fariz.

— BERNAMA


Pengarang :