Perkhidmatan ECRL menghubungkan negeri Pantai Timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang serta Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan Putrajaya dengan Lembah Klang.
BERITA UTAMANASIONAL

Perjanjian baru ECRL lebih banyak libat syarikat tempatan

OLEH NAZLI IBRAHIM

PUTRAJAYA, 15 APR: Perjanjian baru Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) menyaksikan lebih banyak penglibatan syarikat tempatan berbanding perjanjian asal semasa kerajaan di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, China bersetuju meningkatkan penyertaan tempatan dalam kerja awam daripada 30 peratus kepada 40 peratus bagi membantu meningkatkan sektor infrastruktur tempatan.

Katanya, operasi dan penyelenggaraan ECRL juga akan dijalankan secara usahasama.

“China Communications Contruction Company Ltd (CCCC) juga bersetuju untuk mengambil bahagian dalam operasi dan penyelenggaraan ECRL melalui sebuah syarikat usahasama yang akan ditubuhkan dengan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) 50 peratus dan CCCC 50 peratus.

“CCCC akan menyediakan sokongan teknikal dan berkongsi risiko operasi selepas siap projek itu,” katanya pada sidang medianya di Bangunan Perdana Putra di sini, hari ini.

Katanya, dalam berjanjian asal, keseluruhan kos operasi dan menyelenggara ditanggung sepenuhnya oleh Malaysia.

Mahathir berkata, langkah ini mampu meringankan beban kewangan Malaysia di samping dapat memanfaat kepakaran CCCC dalam dalam pengoperasian dan penyelenggaraan.

Mahathir berkata, keputusan ini akan meningkatkan daya maju projek dalam tempoh jangka panjang.


Pengarang :