SELANGOR

PERKESO keluar 32 kompaun terhadap majikan gagal daftar

OLEH SHEEDA FATHIL

PETALING JAYA, 1 APR: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Selangor mengeluarkan 32 kompaun sepanjang Ops Kesan Bersepadu PERKESO-KWSP yang diadakan di sekitar premis di Damansara, di sini, hari ini.

Pengarah PERKESO, Mustafa Draman berkata, operasi itu dijalankan dari jam 11 pagi hingga 3 petang terhadap 321 premis antaranya seperti salun, butik dan bengkel.

Katanya, ia membabitkan 22 kompaun Seksyen 4 dan 10 kompaun Seksyen 5 di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969.

“Sepanjang operasi kita sudah mengeluarkan sejumlah RM20,000 kompaun di bawah Seksyen 4 manakala RM8,000 di bawah Seksyen 5.

“Oleh itu, kita memberi mereka tempoh selama 30 hari kepada majikan untuk datang ke mana-mana PERKESO berhampiran bagi mendaftarkan pekerja mereka menerusi caruman ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Media Ops Kesan Bersepadu PERKESO-KWSP di sebuah restoran di Damansara, di sini, hari ini.

Pada masa sama, katanya, sekiranya majikan ingkar mereka akan dikenakan dua tahun penjara atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Ops Kesan itu diadakan serentak di seluruh Malaysia bertujuan memberi kesedaran sekali gus mendidik majikan untuk mendaftarkan pekerja mereka.

Sepanjang operasi, kompaun dikeluarkan kepada majikan yang melakukan kesalahan gagal mendaftarkan perusahaan atau pekerja mereka.

Difahamkan, Ops Kesan itu sudag bermula sejak 2009 dan sehingga tahun lalu, PERKESO Selangor sudah mengeluarkan sejumlah 4,043 notis kompaun dengan nilai sejumlah RM2.97 juta.

Manakala, sebanyak 2,851 kes pendakwaan diambil ke atas pelbagai kesalahan.

 

 


Pengarang :