SELANGOR

PERKESO tawar diskaun kompaun hingga 75 peratus

OLEH UMIRAH IZRIN MOHAMAD SAID

PETALING JAYA, 1 APR: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menawarkan diskaun kompaun kepada majikan yang gagal mendaftar pekerja mereka.

Pengarah PERKESO Selangor, Mustafa Draman berkata, majikan diberi tempoh 30 hari untuk menjelaskan kompaun dan pembayaran dilaksanakan tujuh hari pertama berpeluang menerima potongan sebanyak 75 peratus, manakala 14 hari (50 peratus) dan selepas 21 hari (25 peratus).

“Pada masa sama, diskaun kompaun akan ditarik balik jika majikan tidak memberi kerjasama sepanjang operasi dijalankan.

“PERKESO tidak akan berkompromi terhadap majikan dan pekerja jika mereka bertindak kasar kepada pegawai yang sedang bertugas,” katanya.

Beliau berkata demikian di sidang media Ops Kesan PERKESO dan KWSP di sebuah restoran, di sini, hari ini.

Terdahulu, PERKESO melancarkan Ops Kesan kali ke-11 membabitkan 100 petugas bahagian penguatkuasaan PERKESO dan KWSP yang dijalankan serentak di seluruh negara sehingga akhir tahun ini bagi mengesan majikan yang gagal mendaftarkan pekerja.

Untuk rekod, majikan yang gagal mendaftarkan perusahaan dan pekerja dalam tempoh ditetapkan jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman denda mencecah RM10,000 atau hukuman penjara 2 tahun atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Ops Kesan diperkenalkan sejak 2009 sehingga 2018 di Selangor berjaya mengeluarkan sebanyak 4,043 notis kompaun atas kesalahan gagal
daftar perusahaan dan pekerja.

Difahamkan, sebelum Ops Kesan dilancarkan, majikan diberi tempoh pemutihan mulai 1 hingga 31 Mac untuk tampil mendaftar perusahaan dan pekerja mereka secara sukarela.

 

 


Pengarang :