NASIONAL

Permintaan tembikai dijangka meningkat menjelang Ramadan

BANDAR PERMAISURI, 29 APRIL: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menjangkakan permintaan tembikai di Terengganu dan Kelantan yang meningkat, pada Ramadan akan dapat dipenuhi, memandangkan ia bertepatan dengan tempoh penuaian buah berkenaan.

Timbalan Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Terengganu, Mohd Azrul Abd Aziz berkata sehingga hari ini, pihaknya membeli 702 matrik tan buah tembikai dan labu manis bernilai RM631,000.

Beliau berkata, pembelian itu dibuat menerusi 115 Perjanjian Jual Beli Ladang Kontrak Kementerian Pertanian dan Asas Tani (MOA) bersama komuniti yang menanam buah-buahan berkenaan, membabitkan tanah seluas 1,000 hektar di seluruh negeri.

“Ekoran cuaca yang baik dan bimbingan daripada Jabatan Pertanian Terengganu, kita lihat pengeluaran hasil buah tembikai pada kali ini agak memberansangkan berbanding sebelumnya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Jual Beli Ladang Kontrak Kementerian Pertanian dan Asas Tani (MOA) bersama 96 peserta di Gong Tengah, Beris Tokku, di sini hari ini.

Beliau berkata, Terengganu mempunyai tiga daerah utama yang menjadi pusat pengeluaran hasil tembikai iaitu di Setiu, Besut serta Marang.

Katanya, harga tembikai yang dibeli oleh FAMA adalah mengikut harga lantai di paras 80 sen sekilogram bagi memastikan kestabilan harga serta mengelak manipulasi orang tengah.

-BERNAMA


Pengarang :