Permohonan pendakwaan pindah kes Rosmah ke mahkamah sama kes Rizal 2 Mei | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Hafizan Taib

Permohonan pendakwaan pindah kes Rosmah ke mahkamah sama kes Rizal 2 Mei

KUALA LUMPUR, 23 APR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 2 Mei untuk mendengar permohonan pendakwaan bagi memindahkan kes rasuah yang dihadapi Datin Seri Rosmah Mansor ke mahkamah sama dengan kes rasuah bekas pegawai khas Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Rizal Mansor, untuk dibicarakan bersama.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar ketika ditemui pemberita selepas prosiding kes itu berkata, hari ini adalah permohonan pendakwaan untuk membawa kes yang dihadapi Rosmah ,67, ke hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan.

“Permohonan itu dibuat di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah semasa sebutan semula kes hari ini dan akan didengar olehnya.


“Pemindahan itu dibuat berikutan kes membabitkan Rizal ada di situ (Hakim Mohamed Zaini). Oleh itu pada tarikh akan datang kami (pendakwaan) akan buat permohonan pemindahan kes. Jadi pada 2 Mei kedua-dua pihak akan berhujah berhubung permohonan itu hadapan Hakim Collin,” kata Mohd Dusuki.

Pada prosiding hari ini, Rosmah diwakili peguam Datuk Akberdin Abdul Kader dan Datuk Jagjit Singh.

Pada 15 November tahun lepas, Rosmah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas dua pertuduhan meminta rasuah wang tunai RM187,500,000 dan menerima rasuah RM1.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak, dua tahun lepas.

Rosmah didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

SUMBER: BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next