Perodua Bezza versi baharu sedan dibuka untuk tempahan. Foto BERNAMA
NASIONAL

Perodua lancar Bezza edisi terhad

KUALA LUMPUR, 11 APRIL: Perodua melancarkan Bezza baharu edisi terhad di Pameran Auto Malaysia 2019 yang berlangsung selama empat hari, bermula hari ini.

Model itu menawarkan harga RM44,890 di atas jalan tanpa insurans dan terhad kepada 50 unit.

“Ia hanya boleh ditempah semasa acara ini,” kata Peroduan dalam kenyataan hari ini.

Kenderaan edisi terhad itu dilancarkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Perodua Global Manufacturing Sdn Bhd, Datuk Ahmad Suhaimi Hashim bersempena pameran berkenaan.

Turut hadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking; Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Datuk Madani Sahari dan Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd, Datuk Zahari Husin.

Sementara itu, Zahari berkata, berbanding Bezza 1.3 Premium X, edisi terhad itu menampilkan warna luaran Ivory White dan kit badan GearUp penuh kemasan hitam matte dikelilingi jalur merah, spoiler belakang hitam matte, bumbung hitam matte dan aloi kelabu gelap.

“Perodua Bezza edisi terhad ini memberikan gaya ‘sporty’ dilengkapi aksesori GearUp eksklusif yang membuatkan ia lebih menonjol berbanding kereta sedan piliihan lain di Malaysia,” katanya.

Sejak dilancarkan pada 2016, 145,000 unit Bezza dijual dan ia adalah sedan pertama Perodua dengan bahagian atas badannya direka sendiri sepenuhnya. -BERNAMA


Pengarang :