SELANGOR

Persatuan Belia Masjid Selangor dinobat pertubuhan terbaik

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 28 APR : Aktif membantu pelajar maahad tahfiz, itu diantara salah satu aktiviti sukarelawan Persatuan Belia Masjid Selangor sehingga berjaya dinobatkan sebagai pertubuhan belia terbaik sempena Anugerah Perdana Belia Negara 2019 peringkat Selangor, malam tadi.

Pengerusinya, Mohd Aliff Mohd Razuki berkata, sehingga kini lebih 200 sukarelawan daripada persatuannya aktif membantu pelajar tahfiz di Maahad Tahfiz Sungai Tekala.

“Peranan sukarelawan kami ialah membantu pelajar-pelajar di sana hampir setiap hari, dan selepas tamat pengajian, sukarelawan kami melatih mereka pula menjadi sukarelawan untuk mendekati masyarakat.

“Selain itu persatuan kami turut aktif bergerak ke masjid-masjid seluruh Selangor bagi mengimarahkan lagi masjid selain membawa golongan belia lebih dekat dengan rumah ibadat berkenaan,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau ditemui ketika pengumuman pemenang Anugerah Perdana Belia Negara Peringkat Selangor 2019 bertempat di Hotel Carlton, malam tadi.

Anugerah disampaikan EXCO Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Mohd Khairudddin Othman.

Hadir sama Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Selangor, Sabran Abd Bahar dan Presiden Majlis Belia Selangor, Hafez Shuriddin.

Mohd Aliff berkata, bukan tugas mudah bagi membolehkan golongan muda mendekati masjid berikutan kekangan masa dan juga persepsi yang beranggapan lebih ramai golongan warga tua mempelopori rumah ibadat berkenaan.

“Sebenarnya perasaan untuk sentiasa bersama masjid ini bermula daripada diri belia itu sendiri.

“Ada yang juga mempunyai anggapan salah dengan mengatakan apabila buat program di masjid, kita boleh gunakan wang masjid kerana ada banyak duit, tetapi tanggapan sedemikian adalah salah kerana kita sebagai golongan muda perlu membantu pihak masjid untuk mendapatkan dana.

“Saya berharap supaya lebih ramai golongan belia yang hatinya sentiasa dekat dengan masjid sekali gus menjadikan masyarakat kita lebih harmoni,” katanya.

Persatuan Belia Masjid Selangor dengan lebih 200 ahli itu berjaya membawa pulang wang tunai berjumlah RM10,000.

Selain pertubuhan itu, Pertubuhan Belia Hindu Kuala Langat dinobatkan tempat kedua dan Kelab Belia Kampung Jenderam Hulu mendapat tempat ketiga.


Pengarang :