PENDIDIKANSELANGOR

Persekitaran kondusif UNISEL pacu perkembangan industri halal

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 16 APR: Persekitaran kondusif dimiliki Universiti Selangor (UNISEL) menjadi antara faktor penting industri halal wajar dikembangkan secara menyeluruh, sekali gus memantapkan pembangunan modal insan industri berkenaan.

Presiden dan Naib Canselornya, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, institusi pengajian tinggi itu bukan sahaja menggunakan kepakaran daripada aspek pemasaran, malahan turut menekankan aspek penyelidikan dalam bidang berkenaan.

Katanya, melalui gabungan kedua-dua aspek berkenaan, UNISEL mampu bergerak seiring dengan hasrat Kerajaan Negeri yang menggalakkan kemajuan dalam industri terbabit.

“Kita menubuhkan Pusat Kecemerlangan UNISEL atau UNISEL Centre of Excellence (COE) yang membawa perkembangan baik buat universiti ini dan institusi yang terdapat di COE iaitu Institut Halal Antarabangsa Unisel (INSHA).

“Institusi ini bergiat aktiviti dalam bidang penyelidikan halal dengan mengadakan beberapa seminar dan forum berkaitan halal yang meninggalkan impak positif terhadap masyarakat tempatan dan antarabangsa.

“Malah, sebagai universiti yang menawarkan pelbagai kursus, kita mahu menanam minat mahasiswa untuk sentiasa melihat ke hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Seminar Kesedaran Halal & Prospek Kerjaya, di Dewan Syarahan 2, UNISEL kampus Shah Alam, di sini, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, usaha memacu perkembangan terhadap industri berkenaan menuntut kesedaran mahasiswa memandangkan industri terbabit mampu memberi impak dan menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Contohnya, bagi perusahaan kerepek, kita di UNISEL boleh membantu daripada segi ‘design’ kerana dengan adanya logo halal ia akan menjadi nilai tambah terhadap produk itu,” katanya.

FOTO: HAFIZ OTHMAN (SELANGORKINI)


Pengarang :