NASIONAL

Persimpangan Bertingkat Simpang Ampat ditutup sementara esok

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

KUALA LUMPUR, 5 APR: Bersempena Le Tour De Langkawi persimpangan Bertingkat Simpang Ampat di Kilometer (km) 217 di Lebuhraya Utara-Selatan akan ditutup sementara, esok.

Menurut kenyataan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) hari ini, penutupan itu bagi memberi laluan kepada penganjuran acara berbasikal itu yang akan melalui Jalan Persekutan 1 Alor Gajah-Melaka.

Katanya, kenderaan dari arah Seremban dan Kuala Lumpur yang menghala ke Alor Gajah atau Tampin dinasihatkan supaya keluar melalui Plaza Tol Pedas Linggi.

“Manakala, bagi kenderaan dari selatan (Johor) yang menghala ke Alor Gajah atau Tampin dinasihatkan agar keluar melalui Plaza Tol Ayer Keroh,” katanya.

Pada masa sama, PLUS menasihatkan pemandu supaya merancang perjalanan dan menggunakan aplikasi mudah alih seperti Waze dan Google Maps.

Pemandu juga boleh mengikuti laman Twitter @plustrafik atau menghubungi talian PLUSLine di 1800 88 0000 bagi mendapatkan maklumat trafik terkini di lebuh raya PLUS.


Pengarang :