SELANGOR

Pertandingan inovasi MDHS tingkat kesedaran warga kerja

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

HULU SELANGOR, 24 APRIL: Sebanyak 37 kumpulan terdiri daripada warga kerja Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) menyertai pertandingan inovasi sempena sambutan Hari Inovasi peringkat MDHS 2019 di Dewan Merdeka, Kuala Kubu Bharu, di sini, Isnin lalu.

MDHS dalam kenyataan berkata, program tahunan itu bagi meningkatkan kesedaran warga kerjanya terhadap kepentingan inovasi dan kreativiti dalam pelaksanaan kerja selain meningkatkan lagi kualiti penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan.

Katanya, terdapat dua kategori dipertandingkan dalam pertandingan berkenaan iaitu kategori Pengurusan dan Teknikal Produk.

“Bagi kategori Pengurusan, Jabatan Landskap dinobatkan sebagai pemenang dengan memperkenalkan Projek Komuniti Hijau manakala bagi kategori teknikal produk pula, Bahagian Korporat dinobatkan sebagai pemenang dengan projek Lampu Pejabat RE.

“Semua pemenang tmembawa pulang sijil penghargaan, hamper serta wang tunai,” katanya.

Terdahulu, MDHS menjadi Pihak Berkuasa Tempatan pertama di Selangor yang menganjurkan Hari Inovasi pada tahun ini dan ia disempurnakan Timbalan Setiausahanya, Shaiful Rizza Piamin .

Sementara itu, Shaiful Rizza berkata, pihak pengurusan tertinggi menyokong dan menggalakkan kakitangan menyertai program berkenaan bagi mewujudkan individu yang sentiasa berfikiran kreatif selain tidak terikut dengan sistem sedia ada.

“Hasil inovasi yang dihasilkan dapat meningkatkan lagi kualiti kerja dan mutu perkhidmatan majlis kepada pelanggan.

“Kita juga menyasarkan bilangan penyertaan akan meningkat dari tahun ke tahun dan semua jabatan perlu mengambil bahagian dalam pertandingan inovasi ini,” katanya.


Pengarang :