GLOBAL

Pertemuan ketiga Trump-Jong Un mungkin berlangsung

WASHINGTON, 12 APRIL: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mungkin bakal mengadakan pertemuan ketiga dengan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un, lapor agensi berita China Xinhua.

Trump membuat kenyataan itu ketika bercakap kepada media bersama rakan sejawatnya dari Korea Selatan, Moon Jae In sebelum mengadakan mesyuarat dua hala mereka di Rumah Putih.

Menurut transkrip penuh yang disediakan Rumah Putih, apabila disoal pemberita jika beliau merancang untuk bertemu Kim bagi sidang kemuncak ketiga, Trump berkata “ia boleh berlaku. Satu sidang kemuncak ketiga boleh berlaku. Dan ia adalah langkah demi langkah.”

Ditanya sama ada terdapat kemungkinan sidang kemuncak tiga hala yang membabitkan beliau, Kim dan Moon, Trump berkata “itu juga boleh berlaku.”

Bagi pihaknya, Moon berkata, diplomasi peribadi antara Trump dan Kim membawa kepada “pengurangan ketegangan ketenteraan dramatik dan ketara di Semenanjung Korea.”

Selepas menamatkan sidang kemuncak di Hanoi, Vietnam pada 28 Februari tanpa sebarang kata sepakat, Trump memaklumkan media bahawa Kim mendesak supaya sekatan terhadap Pyongyang “secara keseluruhan” ditarik balik sebagai pertukaran kepada pembasmian “sebahagian besar” program senjata nuklear Korea Utara, yang tidak dipersetujui Amerika Syarikat.

Menteri Luar Korea Utara Ri Yong Ho, yang menyangkal dakwaan Trump, berkata negaranya hanya mencadangkan sebahagian daripada sekatan ditarik balik, iaitu langkah yang menjejaskan kehidupan rakyat negara itu dihapuskan terlebih dahulu. –BERNAMA


Pengarang :