KLANG, 6 April — Menteri Pertahanan Mohamad Sabu (dua, kanan) merangkap Anggota Parlimen Kota Raja bersama isteri Normah Alwi (kanan) melawat ruang pameran selepas merasmikan program Karnival Selangor Agro Market 2019 di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Klang hari ini. Karnival tersebut diadakan selama dua hari bermula hari ini. –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
SELANGOR

Pesara tentera disaran ceburi sektor pertanian

KLANG, 6 APRIL: Kementerian Pertahanan menyarankan pesara tentera di bawah kumpulan isi rumah berpendapatan rendah (B40), supaya membabitkan diri dalam sektor pertanian sebagai usaha menampung kos hidup masing-masing.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, ia kerana sektor pertanian berpotensi untuk menjadi sumber pendapatan yang lumayan sekiranya dilaksanakan secara terancang dan komprehensif.

“Kita mahu pesara (tentera) yang tidak berpencen dan masih lagi bekerja (makan gaji) serta pesara yang berpencen tetapi pencennya kecil yang mana mereka ini berada dalam kumpulan B40, supaya meneroka bidang pertanian.

“Ini kerana kita lihat bidang pertanian yang diusahakan secara komersial dan apabila mereka terlibat sebagai usahawan tani, tidak mustahil hasrat untuk menjanakan pendapatan yang lumayan akan menjadi kenyataan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Selangor Agro Market anjuran Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur & Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian Dan Industri Asas Tani Selangor, Ir Izham Hashim. — LAGI

Mohamad yang juga anggota Parlimen Kota Raja berkata selain menjana pendapatan, penglibatan pesara tentera dalam aktiviti pertanian akan dapat merancakkan lagi sektor pertanian negara.

“Gunakanlah sebaiknya tanah terbiar yang mana tanah itu berpotensi untuk dibangunkan untuk tujuan pertanian.

KLANG, 6 April — Menteri Pertahanan Mohamad Sabu (dua, kanan) merangkap Anggota Parlimen Kota Raja sempat melelong buah nanas ketika melawat ruang pameran selepas merasmikan program Karnival Selangor Agro Market 2019 di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Klang hari ini.
Turut hadir Exco Pertanian Negeri Selangor Ir Izham Hashim (tiga, kanan).
Karnival tersebut diadakan selama dua hari bermula hari ini.
–fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

“Bagi mereka yang tidak mempunyai tanah, ada tanaman lain yang boleh mereka usahakan contohnya seperti cendawan…biarlah kita usahakan secara kecilan dahulu sebelum dilaksanakan secara meluas,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan perlu mengkaji semula skim tangga gaji bagi anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Katanya, langkah itu perlu bagi menarik minat kaum bukan Melayu untuk berkhidmat dalam pasukan keselamatan berkenaan.

“Negara kita tidak mempunyai kerahan tenaga seperti negara lain dan khidmat dalam pasukan keselamatan ini adalah khidmat pilihan, dan mungkin masalah tangga gaji kecil sebab itu kaum bukan Melayu terutamanya Cina kurang minat menyertai tentera.

“Oleh itu, kerajaan perlu fikir tangga gaji yang lebih sesuai kepada anggota keselamatan ini,”katanya. –BERNAMA

 


Pengarang :