BERITA UTAMASELANGOR

Petik dan nikmati sayur ‘dusun di bandar’

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 21 APRIL: Bukan sahaja murah, pengunjung juga berpeluang merasai pengalaman memetik sayur segar sebagai usaha mengurangkan kebergantungan kepada sayur import.

Menerusi Program Jualan Sayur Petik Sendiri Dari Ladang, pengunjung boleh menikmati pelbagai jenis sayur organik yang dijual dengan harga lebih murah berbanding di pasaran.

Timbalan Setiausaha Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Ir Cheremi Tarman berkata, antara jenis sayuran yang ada ialah bayam, kangkung, sawi, pucuk ubi, ulam-ulaman, lemon, bendi, asparagus, kacang panjang dan cili.

“MBSA ingin memberikan pengalaman memetik sendiri sayur kepada orang ramai dan aktiviti ini akan dipopularkan supaya menjadi trend.

“Kelebihan sayuran di kebun komuniti ini adalah segar, murah dan organik. Kita amat menitik beratkan sayuran bebas racun serangga di kebun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program berkenaan yang diadakan sempena Hari Bumi di Kebun Komuniti Seksyen 8 Timur, di sini.

Cheremi berkata, program berkenaan juga bertujuan menjadikan konsep ‘dusun bandar’ sebagai aset hidup kepada Shah Alam dan memberi manfaat kepada warganya secara keseluruhan.

Katanya, kewujudan kebun komuniti itu secara tidak langsung memberi kesan optimum kepada ruang yang terbiar dan tidak ekonomik kepada lebih hijau serta mampan.

“Selain itu, ia boleh memberi sumber pendapatan tambahan kepada persatuan penduduk melalui hasil jualan sayuran kebun komuniti ini.

“Ia juga dapat mewujudkan kejiranan hijau seperti yang ditetapkan dalam pelan tindakan bandar raya karbon menjelang tahun 2030,” katanya.

Kebun komuniti berkeluasan kira-kira 1 hektar itu diwujudkan bermula 2014 dan mengeluarkan hasil pertama, pada Februari 2015.

Sebanyak sembilan kebun komuniti lain terdapat di kawasan MBSA antaranya Seksyen 24 Setia, Bukit Cherakah, Seksyen 7, 19, 20, U5 dan U12.

 

 


Pengarang :