NASIONAL

PH selamatkan hampir setengah bilion ringgit wang DBKL

PUTRAJAYA, 22 APR: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah dapat menyelamatkan hampir setengah bilion ringgit wang Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), kata Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad hari ini.

Beliau berkata, ini dilakukan melalui rundingan semula 97 transaksi tanah di ibu negara, sekali gus menambah pendapatan DBKL dengan tepat sebanyak RM481 juta.

Beliau berkata, ia merupakan antara kejayaan utama kementeriannya dalam tempoh setahun sejak PH mengambil alih tampuk pemerintahan negara daripada Barisan Nasional.

Menurut laporan media sebelum ini, rundingan semula itu diadakan susulan ada kes transaksi tanah yang dibuat tanpa melalui tender terbuka dan ada kes tanah dijual di bawah harga pasaran semasa pentadbiran BN.

Tambahan pendapatan itu diperoleh dalam bentuk tunai dan nilai tanah, antaranya termasuk lima transaksi tanah yang dirunding di luar mahkamah dan mendapat bayaran balik dalam bentuk infrasturktur, kata menteri itu dalam sidang media di kementeriannya di sini hari ini sempena setahun PH mentadbir negara.

Selain itu, kata Khalid, pewartaan Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2020 pada Oktober lepas juga merupakan langkah terbaik yang dilakukan kementerian bertujuan mengawal pembangunan bandar raya Kuala Lumpur.

Menyentuh perancangan masa depan, beliau berkata, pihaknya sedang merangka Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2020-2040 dan akan dipamerkan kepada orang ramai pada penghujung tahun ini.

Khalid berkata, apabila menerajui kementeriannya, beliau mendapati pada asalnya pembangunan yang dirancang di ibu negara mempunyai kepadatan penduduk dan pembangunan yang tinggi dengan densiti 2,000 orang bagi satu 0.4 hektar.

“Jadi bagi Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2020-2040 ini apa yang kita akan tetapkan dalam pewartaan ialah maksimum densiti tidak boleh melebihi 1,000 orang bagi satu ekar tanah,” katanya sambil menambah kata kepadatan pembangunan juga dikurangkan bagi mengawal pembangunan.

Bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas dan membantu golongan B40, Khalid berkata, DBKL telah mengambil alih perkhidmatan Bas Go KL dan ditempatkan di kawasan kediaman Program Perumahan Rakyat (PPR).

Khalid berkata, perkhidmatan itu memberikan servis percuma bagi perjalanan untuk ke kawasan mudah akses seperti stesen kereta api dan pengangkutan awam lain, selain memanfaatkan lebih 1,000 penumpang setiap hari.

Mengenai projek Taman Rimba Kiara, beliau berkata, pihaknya telah berjaya membuat rundingan dengan pemaju untuk menurunkan keluasan pembangunan daripada 4.9ha (12 ekar) kepada 3.2ha (8 ekar) sahaja susulan terdapat bantahan daripada penduduk Taman Tun Dr Ismail (TTDI) yang tidak bersetuju dengan pembangunan projek tersebut.

“Saya telah berunding dengan pemaju untuk ‘scale down’ (mengecilkan) projek daripada lapan blok kepada empat blok pangsapuri sahaja dan satu blok pangsapuri akan tetap dibekalkan kepada 100 keluarga rumah panjang sepertimana yang dipersetujui sebelum ini,” katanya.

Beliau juga berkata, penubuhan Mesyuarat Majlis Menteri di bawah DBKL membuktikan ketelusan kerajaan PH dalam usaha membangunkan bandar raya Kuala Lumpur.

Perkara itu dapat dilihat dengan penglibatan 11 Anggota Parlimen yang turut menganggotai mesyuarat tersebut, selain Datuk Bandar Kuala Lumpur serta pegawai DBKL dan Kementerian Wilayah Persekutuan.

“Mesyuarat yang diadakan setiap dua bulan sekali ini merupakan satu inovasi apabila kita memanggil 11 Anggota Parlimen duduk bersama dengan DBKL dan kementerian di mana mereka turut sama memikirkan seolah-olah sebagai kerajaan yang memerintah KL dan merancang bersama untuk menentukan dasar dan polisi bagi pembangunan Kuala Lumpur.

“Sebelum ini anggota Parlimen tidak ada fungsi sangat dalam keputusan DBKL, jadi apabila kita ambil alih kita mahu mengimbangi kuasa wakil rakyat dan membuka jalan bagi mereka bersama-sama melontarkan idea,” katanya.

Khalid berkata, usaha itu juga sekali gus dapat membawa suara rakyat di bawah kawasan Parlimen masing-masing termasuk isu seperti kesesakan lalu lintas, rumah mampu milik, kebersihan dan laluan pejalan kaki di kawasan Kuala Lumpur.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :