NASIONAL

Pili kering, penduduk lepas geram pada ‘Bossku’

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 30 APR: Bosan berhadapan masalah bekalan air kira-kira dua bulan, seorang penduduk Tasik Chini dekat Pekan menyalahkan ahli parlimennya Datuk Seri Najib Razak.

Penduduk itu menyeru bekas perdana menteri itu supaya tidak menyibuk di media sosial dengan aktiviti ‘bossku’ sehingga melupakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat.

Dengan memuatkan foto-foto orang ramai menadah air dari lori tangki, Danif Mohamad sejak beberapa hari ini menyindir Najib yang didakwanya tidak mengambil berat masalah mereka.

“Lori [tangki] hantar air sampai ke malam. Chini ini di Mogadishu, tahu, bukan di Pekan. Malu-malu pula ‘bossku’. Sudah dua bulan menghadap masalah air ini,” coretnya di Facebook.

Melabel ahli parlimen Umno itu “tunggul”, penduduk itu menggesa “semua media buat liputan masalah air itu dengan harapan “biar dunia tahu hakikat sebenar!”

“Jangan hendak sibuk ‘bossku’ sahaja! Tularkan isu ini sahabat-sahabatku,” tulis Danif lagi di media sosial itu minggu lepas.

Ketika dihubungi SelangorKini hari ini, beliau menggesa penduduk Chini “lebih berani bersuara” agar pihak bertanggungjawab berusaha menyelesaikan isu ini secepat mungkin.

Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) dilaporkan menafikan dakwaan gangguan bekalan air bersih di Gugusan Felda Chini sudah berlarutan sejak dua bulan lalu.

Seorang pegawainya berkata gangguan itu berlaku sejak awal Mac ekoran cuaca panas melampau yang mengakibatkan paras air Loji Rawatan Air (LRA) Chini susut.

Baru-baru ini, Sinar Harian juga melaporkan lori tangki bomba Pekan menghantar 20,000 liter air untuk penduduk Felda terbabit. Pada 8 Mac lalu, jabatan itu menghantar 60,000 liter air ke situ.

Semakan SelangorKini mendapati pengguna-pengguna Facebook di kawasan itu mengeluh di media sosial sejak minggu lepas susulan masalah yang berlarutan itu.

Foto Sumber: Facebook Danif Mohamad

 


Pengarang :