NASIONAL

Pinda klausa Perlembagaan pastikan bangunan kerajaan miliki FC

CYBERJAYA, 6 APRIL: Klausa dalam Perlembagaan Negara yang merujuk kepada pengecualian bagi bangunan kerajaan memiliki Sijil Perakuan Bomba (FC), dijangka dipinda dalam masa dua bulan bagi membolehkan semua bangunan kerajaan memiliki sijil berkenaan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, beliau sudah membawa perkara berkenaan ke mesyuarat Kabinet dua bulan lalu, sekali gus membolehkan bangunan kerajaan memiliki FC.

“Saya terkejut apabila mendapati bangunan kerajaan tidak mempunyai FC. Bangunan pertama yang perlu ada FC adalah bangunan kerajaan.

“Rupanya dalam Perlembagaan Persekutuan ada satu klausa yang memberikan kekebalan kepada bangunan kerajaan (daripada memiliki FC) dan menjadikannya tidak tertakluk kepada undang-undang kebombaan. Perkara ini perlu dipinda,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan perumahan Raudhahville di Selangor Cyber Valley, di sini hari ini.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Mohammad Hamdan Wahid sebelum ini dilaporkan berkata, kira-kira 140 bangunan kerajaan di seluruh negara masih belum memiliki FC dengan 39 daripadanya adalah di Putrajaya.

Zuraida berkata, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sudah memulakan mesyuarat penyelarasan dengan pengurusan semua bangunan kerajaan yang tidak memiliki FC dan memberi taklimat proses yang perlu dilakukan.

Katanya, proses pengeluaran FC kepada bangunan kerajaan tidak akan mengambil masa lama kerana ia tidak membabitkan banyak birokrasi selain bangunan kerajaan itu sudah memiliki Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC).

Katanya, apa yang perlu dilakukan kini ialah memperkemas dan menyeragamkan prosedur supaya pengeluaran CCC seiring dengan FC. -BERNAMA


Pengarang :