JEMPOL, 20 April — Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (tengah) bersama dengan kakitangan Felda dan peneroka selepas Program Kepimpinan Felda dan Rapat Perdana Peneroka Felda Wilayah Raja Alias di Felda Palong 9, hari ini. –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
BERITA UTAMANASIONAL

Pinjaman sara hidup peneroka FELDA kekal RM1,500

JEMPOL, 20 APRIL: Kerajaan akan meneruskan pemberian insentif Pinjaman Sara Hidup dan Pendahuluan Hasil kepada peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) pada kadar semasa, iaitu RM1,500, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Katanya keputusan itu dibuat selepas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak bersetuju dengan cadangan pemotongan insentif berkenaan kepada RM1,000 yang dikemukakan Lembaga Pengarah FELDA sebelum ini.

“Keputusan (sebelum ini dicadangkan) oleh Lembaga Pengarah FELDA dan mereka ini profesional serta berwibawa dan berpendapat bahawa pemotongan tersebut perlu dilakukan berikutan kedudukan kewangan Felda ketika itu yang amat kritikal.

“Namun sebagai kerajaan yang peduli peneroka, saya mengambil maklum cadangan Lembaga Pengarah Felda dan bersama-sama Timbalan Menteri (Dr Mohd Radzi Md Jidin) kami bertemu dengan perdana menteri sebanyak empat kali sebelum kertas putih dibentangkan dan perdana menteri tidak bersetuju dengan cadangan pemotongan itu dalam keadaan ekonomi sekarang yang amat membebankan peneroka FELDA,” katanya di sini hari ini.

Beliau ditemui pemberita selepas meninjau projek perumahan generasi baharu FELDA di Palong 8, di sini.

Hadir sama, Mohd Radzi; Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawan, Pendidikan dan Modal Insan negeri, Dr Mohamad Rafie Ab Malek; Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Luar Bandar, Ismail Ahmad dan Pengarah Besar FELDA, Datuk Dr Othman Omar.

Pada 28 Mac lalu, Lembaga Pengarah FELDA mencadangkan agensi itu mengurangkan bayaran Pinjaman Sara Hidup dan Pendahuluan Hasil daripada RM1,500 kepada RM1,000 sebulan ekoran keadaan kewangan semasanya yang kritikal.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata, perdana menteri juga mengarahkan sejumlah wang disediakan kepada Felda agar pinjaman Sara Hidup dan Pendahuluan Hasil dikekalkan pada kadar sedia ada.

Sementara itu, beliau berkata 5,000 unit perumahan generasi baharu FELDA di seluruh negara yang mencapai status pembinaan 70 peratus dan ke atas akan disiapkan tahun ini, membabitkan peruntukan RM250 juta.

“Bagi Negeri Sembilan, ia membabitkan 839 unit dengan peruntukan RM90 juta,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai keputusan kerajaan meneruskan projek Bandar Malaysia, Mohamed Azmin berkata projek terbabit tidak membabitkan peruntukan kerajaan, sebaliknya dipacu sektor swasta.

JEMPOL, 20 April — Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (tiga, kanan) melawat Rumah Generasi Kedua di Palong 8 pada Program Kepimpinan Felda dan Rapat Perdana Peneroka Felda Wilayah Raja Alias, hari ini.
–fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

“Projek ini bukan sahaja pembangunan hartanah komersil dan kediaman tetapi satu pembangunan strategik yang dapat menarik pelabur dari syarikat multinasional luar negara khususnya dalam sektor kewangan. Kita mahu jadikan Malaysia hab kewangan di rantau ini.

“Kita berpegang pada prinsip ia mesti dilakukan dengan tender terbuka dan kita dapat maklumat antara sebab pentadbiran lama menamatkan perjanjian asal itu atas pertimbangan untuk dapat imbuhan yang illegal (haram),” katanya.

Semalam, Dr Mahathir mengumumkan kerajaan akan meneruskan semula projek Bandar Malaysia dengan anggaran nilai pembangunan kasar RM140 bilion selepas ia diberhentikan secara tiba-tiba pada Mei 2017.

Terdahulu, Mohamed Azmin yang dalam lawatan kerja sehari di negeri ini menghadiri Program Rapat Perdana Peneroka Felda Raja Alias di Palong 8 di sini.

Pada program itu beliau turut menerangkan kepada warga peneroka mengenai kertas putih “Ke Arah Kelestarian FELDA” yang dibentangkan di Dewan Rakyat, pada 10 April lalu.

Pada majlis itu beliau turut menyampaikan sembilan anugerah kepada individu terpilih.

Penghulu Luak Jempol Datuk Lela Putra Setiawan Abdul Hafit Anuar Abu Bakar dipilih menerima anugerah Tokoh Peneroka, Ramlah Jelani (Tokoh Penerokawati); Rizam Hazmi (Tokoh Belia); Mej (B) Abu Ibon (Tokoh Kaf); Nur Zalifah Pazerizulsham (Tokoh Pelajar); Napsiah Abu Bakar (Tokoh Koperasi); Harlina Abd Rahman (Tokoh Usahawan); Felda Raja Alias 4 (Pemenang AKKF) dan Abu Zarin Baba (Tokoh Imam). -BERNAMA


Pengarang :