SELANGOR

PKNS berjaya bina 11 bandar baharu

OLEH NADIAH ZAMLUS

BANGI, 13 APR: Sebelas bandar baharu berjaya dibina Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) sepanjang 55 tahun penubuhannya.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain berkata, pembinaan itu melibatkan seluas 10,000 hektar tanah, dengan lebih 150,000 unit kediaman pelbagai jenis telah dibina.

Katanya, PKNS bukan sahaja dikenali sebagai entiti pemaju hartanah tetapi juga berperanan sebagai pemacu bagi pembangunan komuniti di kalangan masyarakat setempat.

“Oleh sebab itu kami terus komited dalam membangunkan pembangunan yang komprehensif menepati keperluan dan cita rasa kontemporari pelanggan.

“Kami beriltizam untuk meneruskan lagi pembangunan dari segi fizikal dan ekonomi demi kesejahteraan rakyat serta Selangor untuk memastikan PKNS kekal relevan,” katanya dalam ucapan ketika Hari Bersama Pelanggan PKNS Siri 1/2019 di Dewan Komuniti Seksyen 7, di sini.

Teks ucapan beliau pada majlis yang dihadiri lebih 200 penduduk dan pelanggan PKNS itu dibacakan Pengurus Besar Pembangunan Wilayah Selatan, Lokman Abd Kadir.

Pada masa sama, Mohd Azizi berkata, program berkenaan adalah julung kali diadakan kerana kebiasaannya Hari Mesra Pelanggan berlangsung di kompleks PKNS sahaja.

Katanya, namun kali ini ia berubah ke lokasi berdekatan dengan projek perumahan PKNS.

“Ia supaya PKNS lebih dekat dengan pelanggan serta bukti komitmen untuk mewujudkan budaya mesra penduduk setempat.

“PKNS sangat menitik beratkan perkhidmatan kepada pelanggan dan ini adalah seiring dengan nilai bersama iaitu Pelanggan Diutamakan.

“Nilai ini kami terapkan pada setiap anggota PKNS untuk meletakkan kepuasan pelanggan sebagai tunjang utama dalam penyampaian produktiviti kerja kerana PKNS menyedari tanpa masyarakat di luar sana, siapalah kami,” katanya.


Pengarang :