NASIONAL

PLUS umum lima rakan niaga baharu

OLEH AFIX REDZUAN

SETIA ALAM, 18 APR: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengumumkan penambahan lima rakan niaga baharu bagi memantapkan lagi operasi di kawasan rehat dan rawat (R&R) dalam memberi keselesaan kepada pengguna lebuh raya.

Rakan niaga baharu itu terdiri daripada jenama produk makanan terkenal iaitu Sushi King, My Laksa, Bon 900 Cafe, Daily Fresh dan Family Mart.

Majlis menandatangani perjanjian bersama itu berlangsung pada Persidangan Rakan Niaga PLUS 2019 dan pelancaran Program Insentif Rakan Niaga (BPIP) di Pusat Konvensyen Setia Alam melibatkan Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail serta wakil syarikat produk makanan.

Majlis pelancaran BPIP disempurnakan Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Dato’ Sr Aziz Abdullah.

Secara keseluruhan PLUS mempunyai lebih 450 rakan niaga dengan 20 jenama produk makanan terkenal juga telah mula beroperasi di R&R dan hentian.

Ketika ini, lebih daripada 700 gerai makanan dan minum di R&R PLUS yanga menawarkan pelbagai makanan di 24 buah R&R, 46 hentian dan empat restoran jejantas.


Pengarang :