BERITA UTAMANASIONAL

PM: Al-Quran perlu difahami, jadikan panduan hidup

OLEH NAZLI IBRAHIM

PUTRAJAYA, 2 APR: Penjawat awam beragama Islam disarankan menjadikan Al-Quran sebagai panduan dalam mengejar kejayaan sama ada di dunia dan akhirat.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, perkara itu hanya boleh dilaksanakan sekiranya umat Islam memahami isi kandungan Al-Quran.

“Saya khatam Al-Quran dah lama, masa saya kecil dahulu tetapi pada masa itu saya tak faham apa-apa yang saya baca.

“Sekarang saya baca tafsiran Al-Quran barulah boleh saya boleh fahami,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perjumpaan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri Bagi Bulan April di Dataran Perdana, Jabatan Perdana Menteri di sini, hari ini.

Selain itu, Mahathir turut mengingatkan supaya penjawat awam tidak hanya bergantung kepada doa semata-mata untuk mencapai kejayaan.

Katanya, ini kerana kejayaan tidak akan datang bergolek sekiranya hanya berdoa tanpa berusaha mencapainya.

Sementara itu, perhimpunan yang dihadiri lebih 100 warga kerja Jabatan Perdana Menteri pagi tadi turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.


Pengarang :