BEIJING, 25 April — Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (empat, kanan) berkata sesuatu ketika mengadakan sidang telekomunikasi secara langsung dengan rakyat Malaysia pada lawatan di Huawei Beijing Research Centre hari ini. Turut hadir (dari, kanan) Pengasas Huawei, Ren Zeng Fei, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Zuraida Kamaruddin dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (dua, kiri). Dr Mahathir mengadakan lawatan kerja ke Beijing selama lima hari bermula hari ini dan menghadiri Forum Jalur dan Laluan bagi Kerjasama Antarabangsa Kedua.?– fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

PM lawat Pusat Penyelidikan Huawei di Beijing

BEIJING, 25 APRIL: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad diberi peluang melihat lebih dekat teknologi canggih syarikat Huawei apabila beliau dibawa melawat ke Pusat Penyelidikan Beijing milik syarikat itu di Taman Sains Zhongguancun, di sini.

Ketibaan beliau di pusat itu, kira-kira sejam perjalanan dengan kenderaan dari daerah pusat peniagaan Beijing, disambut pengasas Huawei, Ren Zhengfei.

Huawei ialah syarikat penyedia infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan peranti pintar, dengan penyelesaian bersepadu meliputi empat domain iaitu rangkaian telekom, IT, peranti pintar dan perkhidmatan awan.

Dalam kenyataan, Huawei berkata, Dr Mahathir diberi taklimat oleh Zhengfei dan pakar teknikal syarikat berhubung perkembangan terbaru perniagaan serta teknologi 5G.

“Kedua-dua pemimpin (Dr Mahathir dan Zhengfei) berbincang panjang lebar mengenai bagaimana untuk memanfaatkan teknologi maklumat dan komunikasi bagi memudahkan ekonomi Malaysia berkembang dengan lebih baik dan memenuhi keperluan masyarakat tempatan,” katanya.

Dr Mahathir tiba di Beijing malam tadi untuk memulakan lawatan kerja lima hari dan untuk menghadiri Forum Kerjasama Antarabangsa Satu Jalur Satu Jalan kali ke-2, yang akan bermula esok.

Perdana menteri pada lawatan itu turut merasai pengalaman menggunakan perkhidmatan awan Huawei serta aplikasi industri merangkumi bandaraya pintar, pembuatan pintar dan pengangkutan pintar.

Dr Mahathir, yang diiringi isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, turut bercakap dengan pelajar daripada syarikat Seeds mengenai program Future, yang terletak 4,300km jauhnya di pejabat Huawei Malaysia dan Pusat Latihan Global Malaysia, menggunakan teknologi telepersidangan syarikat itu.

Zhengfei dalam kenyataan sama mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia atas sokongan diberikan terhadap pembangunan perniagaan syarikat itu di Malaysia sejak 18 tahun lepas.

“Kami sentiasa bersedia untuk belajar dan memenuhi keperluan kerajaan dan berkongsi pengalaman kami dalam ICT. Kami percaya pembangunan 5G yang tersebar luas akan meningkatkan lagi penggunaan teknologi digital ICT di Malaysia, ” katanya.

Huawei mula beroperasi di Malaysia pada 2001 dan kini mempunyai 11 pusat khidmat yang dikongsi di negara itu, menggaji kira-kira 2,400 pekerja.

Turut serta pada lawatan itu ialah Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Azmin Ali, Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamarudin dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking.

-BERNAMA


Pengarang :