PM: PNB jangan salah guna kuasa, jaga amanah pelabur | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Afeeqa Afeera

PM: PNB jangan salah guna kuasa, jaga amanah pelabur

SUNGAI PETANI, 21 APRIL: Kepimpinan dan pengurusan Permodalan Nasional Bhd (PNB) diingatkan supaya tidak leka menunaikan tanggungjawab dan menjaga amanah dalam mendukung harapan serta aspirasi pelabur.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, tanggungjawab PNB amat berat kerana pelaburnya sentiasa mengharapkan pulangan baik untuk meningkatkan kualiti hidup mereka.

Sehubungan itu, beliau berkata, salah guna kuasa dalam tadbir urus, kemerosotan integriti, penyelewengan dan rasuah serta ketirisan seperti yang berlaku dalam institusi pelaburan lain perlu dielakkan dalam PNB.


“(Jika berlaku) akhirnya kerajaan terpaksa campur tangan, tapi ia bukanlah satu penyelesaian kerana imej yang tercalar tidak mudah untuk diperbaiki dan keyakinan rakyat khususnya pelabur tidak mudah dikembalikan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perutusan khas yang disiarkan menerusi rakaman video pada perasmian Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2019 di sini, hari ini.

Beliau berkata, jika berlaku penyelewengan dalam PNB, maruah bangsa juga akan tercalar selamanya kerana peranan PNB bukan hanya terhad untuk kepentingan ekonomi semata-mata malah turut meliputi kepentingan sosial.

“PNB banyak menjalankan aktiviti tanggungjawab sosial korporat yang memberi impak tinggi kepada masyarakat yang berteraskan pendidikan sehingga kepada penajaan melalui pemberian biasiswa, kebajikan dan lain-lain sumbangan yang memberi manfaat signifikan kepada pelbagai lapisan masyrakat,” katanya.

Dr Mahathir berkata, pencapaian PNB itu adalah merupakan manifestasi profesional PNB dalam menggembleng pelaburan rakyat yang setia dan memberi kepercayaan kepada PNB.

“Ia tidak mungkin akan dicapai sekiranya PNB tidak menjalankan tanggungjawab dengan berintegriti dan amanah,” katanya.

Katanya, PNB berjaya mengumpul dan mengembangkan asetnya sehingga mencecah RM298.5 bilion dengan jumlah 13.8 juta pemegang akaun yang membawa nilai aset sebanyak RM236.6 bilion.

Pada masa sama, beliau turut menyeru semua lapisan rakyat mengambil peluang untuk mengunjungi MSAM bagi mendapatkan pendedahan mengenai cara mengurus kewangan dan pelaburan dengan bijak di samping memahirkan diri dengan teknologi dalam urusan kewangan.

Katanya sejak edisi pertama MSAM 20 tahun lalu, penganjurannya menerima lebih 3.8 juta pengunjung secara kumulatif termasuk masyarakat dari luar bandar. -BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next