NASIONAL

Polis rampas 120kg daun ketum di Kedah

ALOR SETAR, 6 APRIL: Polis menahan seorang wanita warga Kemboja dan merampas 120 kilogram (kg) daun ketum bernilai RM3,600 dalam operasi di Kampung Bukit Pak Pom, Kubur Panjang dekat Pendang, pada Jumaat malam.

Ketua Polis Daerah Pendang, DSP Arriz Sham Hamezah berkata, dalam serbuan kira-kira 8 malam itu, sebanyak 25 bungkusan plastik hitam berisi daun ketum dengan setiap bungkusan seberat 4.8kg ditemukan, dipercayai untuk dijual kepada pembeli yang sudah membuat tempahan.

“Wanita Kemboja itu kita tahan ketika sedang mengendalikan plastik hitam yang di dalamnya mengandungi daun ketum segar bagi tujuan jualan.

“Tindakan pantas polis berjaya menahan suspek serta barang rampasan… kegiatan ini dilakukan di waktu malam dan tidak mengambil masa yang lama bagi mengelak dikesan pihak berkuasa dan penduduk kampung,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, siasatan awal juga mendapati daun ketum itu dibeli di sekitar kampung itu sebelum dijual semula kepada pembeli pada harga RM30 bagi satu kg.

“Kita juga dapati wanita asing yang telah berkahwin dan menetap selama lapan bulan di sini, tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan menerima upah sebanyak RM20 untuk melakukan kerja itu bagi menampung kehidupan berada di negara ini,” katanya.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. -BERNAMA


Pengarang :