Polis tahan suami isteri proses, jual air ketum | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Afeeqa Afeera

Polis tahan suami isteri proses, jual air ketum

KUALA LUMPUR, 26 APRIL: Pasangan suami isteri bersama dua orang rakan mereka yang giat menjalankan aktiviti memproses dan mengedar air ketum ditahan dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Koperasi Polis Fasa 2, Batu Caves, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul, ACP S. Shanmugamoorthy berkata tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 30 dan 40 tahun itu ditahan oleh anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul pukul 5.00 petang.

“Pemeriksaan di rumah itu membawa kepada penemuan 75 bungkusan plastik air ketum dan 320 bungkus daun ketum dengan kesemuanya bernilai RM2,510.


“Polis turut menemui peralatan dipercayai digunakan untuk memproses air ketum seperti tong gas, dapur gas, alat penimbang dan periuk besar,” katanya dalam sidang media di IPD Sentul di sini, hari ini.

Beliau berkata semua suspek dipercayai bergiat aktif dalam aktiviti ini lebih kurang tiga bulan lepas dan mereka dipercayai memperoleh bekalan daun ketum dari utara tanah air.

“Hasil siasatan awal polis mendapati air ketum dijual pada harga RM10 sebungkus (1 liter) dan mereka mampu menjual sekitar 100 ke 150 bungkus sehari,” katanya.

Shanmugamoorthy berkata kesemua suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau direman sehingga Ahad ini, dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang membawa hukuman penjara tidak lebih empat tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

Beliau turut berkata dengan penangkapan ini pihak polis percaya mereka telah berjaya menumpaskan aktiviti pemprosesan dan pengedaran air ketum di sekitar daerah Sentul.

-BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next