NASIONAL

Polis tahan wanita bawa dadah RM150,000 dalam kereta

KUALA LUMPUR, 18 APRIL: Polis menahan seorang wanita dan merampas 50 ketulan mampat disyaki dadah jenis ganja dianggarkan bernilai RM150,000 di Seri Kembangan, dekat sini, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Serdang, ACP Ismadi Borhan berkata, wanita berkenaan ditahan ketika memandu sebuah kereta Toyota Vios oleh sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang kira-kira 6 petang.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati wanita berusia 27 tahun itu menyimpan lebih 49 kilogram dadah berkenaan dalam tiga guni di bahagian but kereta itu.

“Siasatan mendapati suspek yang merupakan penganggur itu baharu aktif dalam kegiatan tersebut dan mendapat bekalan dari sempadan sebelum di bawa masuk melalui Kelantan untuk diedarkan sekitar Lembah Klang,” katanya pada sidang media di Ibu pejabat Polis Daerah Serdang, di sini hari ini.

Katanya, bekalan dadah berkenaan dapat menampung antara 5,000 dan 10,000 pengguna dan polis masih mencari anggota dan suspek utama yang terlibat dengan sindiket itu.

Hasil ujian air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan wanita itu direman tujuh hari sehingga 23 April bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, katanya.

Pada masa sama, Ismadi berkata, seramai 310 individu disyaki terlibat dengan kegiatan judi dalam talian telah ditahan bagi tempoh Jan sehingga Selasa lepas.

Katanya, polis turut merampas 880 barang kes antaranya wang tunai berjumlah RM20,942, komputer riba, set komputer dan telefon bimbit yang dianggarkan berjumlah bernilai RM70,000.

“Penganjur kegiatan perjudian dalam talian ini dipercayai cuba memulakan kegiatan mereka sekiranya tidak ada pemantauan secara berterusan dan tangkapan,” katanya.

Katanya, usaha membanteras sindiket perjudian masih dijalankan dan kerjasama orang awam untuk menyalurkan maklumat dialu-alukan. -BERNAMA


Pengarang :