NASIONAL

Polis tingkat kawal sempadan ekoran Sungai Golok cetek

PASIR PUTEH, 1 APR: Polis Kelantan sentiasa siap siaga mengawal kawasan sempadan Malaysia-Thailand berhubung kemungkinan berlaku penyeludupan pelbagai barangan terlarang ke negara ini ekoran keadaan Sungai Golok yang cetek berikutan cuaca panas.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hasan berkata, air sungai yang cetek sehingga ke paras lutut memudahkan penjenayah mengambil kesempatan menyeludup barangan terutama dadah ke negara ini.

“Polis tidak memandang mudah mengenai situasi sekarang, terutama membendung kemasukan dadah dari negara jiran dan tidak kira situasi apa pun kita tetap bersedia,” katanya kepada pemberita pada majlis Serah Tugas Ketua Polis Daerah Pasir Puteh di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini, hari ini.

Pada majlis itu Pemangku Ketua Polis Daerah Pasir Puteh DSP Ganti Jimmy menyerahkan tugas kepada DSP Azmin Damiri sebagai Ketua Polis Daerah yang baharu berkuatkuasa hari ini.

Hasanuddin berkata, sebelum ini mereka sukar memboloskan diri kerana terpaksa menggunakan perahu, tetapi kini mereka hanya berjalan kaki untuk membawa barangan seludup ke negara ini.

“Lebih-lebih lagi pasukan keselamatan tidak boleh lagi menggunakan bot seperti biasa meronda sepanjang sungai itu untuk menghalang kegiatan mereka berikutan paras air sungai yang cetek,” katanya.

Katanya, polis termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta pasukan penguatkuasa agensi berkaitan, masih mampu mengawal keadaan menerusi darat apabila sehingga kini tiada apa-apa kejadian yang tidak diingini berlaku.

Bagaimanapun katanya berdasar situasi itu terdapatnya cadangan membina segera pagar di kawasan sempadan sebagaimana di Perlis, Kedah ke Bukit Kayu Hitam.

Beliau berkata jika berpagar, ia akan menyukarkan sedikit pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan pada keadaan dan musim tertentu menyeludup masuk barangan.

– BERNAMA


Pengarang :